Latar belakang
Cystic fibrosis (CF) adalah keadaan sepanjang hayat yang diwarisi yang menyebabkan sistem organ dalam badan menghasilkan sejumlah besar lendir yang tebal dan melekit. Kawasan yang paling kerap dijangkiti adalah paru-paru, di mana lendir yang tebal menyebabkan jangkitan di dada berulang dan kesukaran bernafas. Kawasan lain yang sering terkena adalah sistem pencernaan. Ramai orang dengan CF mengalami kembung dan sakit perut yang mungkin disebabkan oleh sembelit atau sindrom sumbatan usus distal (DIOS). Pada DIOS, pengeluaran lendir tebal yang berlebihan bergabung dengan najis melekat pada dinding usus. Pembesaran ini boleh menyekat sebahagian usus (DIOS tidak lengkap) atau menyekat usus sepenuhnya (DIOS lengkap). DIOS lengkap menyebabkan kesakitan yang teruk, muntah dan dirawat sebagai keadaan perubatan kecemasan. Sebagai sebahagian daripada rawatan yang berkesan bagi penghidap CF, sembelit harus dirawat dan penyumbatan usus yang lengkap dapat dicegah. Penting juga untuk disedari bahawa sembelit dan DIOS memberi kesan kepada aspek kesihatan CF yang lain. Kembung, sakit perut dan loya boleh mempengaruhi pembersihan saluran udara, senaman dan tidur. Status pemakanan juga boleh terjejas kerana penurunan selera makan dan kekurangan zat makanan. DIOS boleh mempengaruhi penyerapan ubat lain yang diambil oleh penghidap CF. Secara keseluruhan, DIOS boleh menjejaskan kualiti hidup dengan ketara. Julap yang berlainan digunakan pada masa ini di klinik, tetapi amalan preskripsi ubat adalah berbeza dan tidak ada persetujuan mengenai strategi rawatan yang optimum. Oleh itu, tinjauan ini bertujuan untuk menganalisis bukti untuk mencegah DIOS.
Tarikh pencarian
Kali terakhir kami mencari bukti: 12 Oktober 2021.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan satu percubaan dalam ulasan, yang merangkumi 17 orang berusia antara 13 hingga 35 tahun. Penghidap ini secara rawak dimasukkan ke dalam kumpulan untuk mengambil ubat plasebo (tanpa ubat aktif) atau cisapride masing-masing selama enam bulan dan kemudian silang dan mengambil rawatan alternatif selama enam bulan lagi.
Keputusan utama
Percubaan telah menggunakan radiografi untuk mendiagnosis DIOS, tetapi tidak memberikan data dan hanya menyatakan bahawa tidak ada perbezaan antara cisapride dan plasebo. Percubaan juga menyatakan bahawa tidak ada kesan buruk dari cisapride. Percubaan tersebut menilai skor gejala gastrointestinal peserta dan individu yang dilaporkan. Penghidap dalam kumpulan cisapride melaporkan peningkatan dalam jumlah skor gejala gastrointestinal berbanding dengan kumpulan plasebo. Walau bagaimanapun, tidak ada perbezaan yang dilaporkan antara kumpulan untuk skor gejala individu sakit perut dan distensi perut (bengkak). Peserta juga melaporkan skor gejala global, yang menunjukkan bahawa kebanyakan orang merasa lebih baik mengambil cisapride berbanding plasebo.
Kepastian bukti
Kepastian keseluruhan bukti adalah sangat rendah. Dengan satu percubaan dalam ulasan ini, kami tidak dapat menggabungkan data dari percubaan yang berbeza. Percubaan tidak memberikan maklumat yang cukup mengenai kaedah yang digunakan untuk memperuntukkan peserta atau mengenai data yang hilang dan tidak melaporkan hasil tertentu sepenuhnya. Jumlah penyertaan yang rendah juga menurunkan ketepatan keputusan. Sejak percubaan ini dilakukan, cisapride telah dikeluarkan dari pasaran di sejumlah negara kerana komplikasi jantung yang jarang tetapi serius, oleh itu ia tidak dapat diterapkan pada praktik klinikal semasa.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.