Mesej utama
– Infliximab yang digunakan dengan analog purin (azathioprine atau 6-mercaptopurine) mungkin lebih berkesan daripada analog purin sahaja untuk mendapatkan remisi dalam penyakit Crohn. Ia juga mungkin lebih bagus untuk menambahbaik gejala. Kedua-dua rawatan mungkin serupa dari segi keselamatan.
– Infliximab sahaja mungkin lebih berkesan daripada analog purin sahaja untuk mendapatkan remisi dalam penyakit Crohn dan menambahbaik gejala. Kedua-dua rawatan mungkin serupa dari segi keselamatan.
– Infliximab mungkin sama berkesan dengan biosimilar untuk mendapatkan remisi dalam penyakit Crohn dan menambahbaik gejala. Kedua-dua rawatan mungkin serupa dari segi keselamatan. Biosimilar infliximab ialah ubat biologi (mengandungi bahan yang telah dicipta dengan menggunakan sel atau organisma hidup) yang sangat serupa dengan jenama asal infliximab.
Apakah itu penyakit Crohn?
Penyakit Crohn adalah penyakit radang sepanjang hayat yang boleh menjejaskan mana-mana bahagian usus. Gejala biasa termasuk najis berdarah, cirit-birit, sakit perut, demam, penurunan berat badan dan keletihan. Kami tidak tahu dengan tepat apa yang menyebabkan penyakit Crohn, tetapi ia mungkin campuran gen, masalah dengan sistem imun (yang mempertahankan tubuh daripada jangkitan), bakteria dalam usus dan sesuatu dalam persekitaran.
Tiada penawar yang diketahui untuk penyakit Crohn, tetapi gejala biasanya dikawal dengan ubat-ubatan seperti kortikosteroid dan ubatan sistem imun, serta kadangkala pembedahan. Infliximab ialah sejenis ubat penyakit Crohn yang dipanggil ubat biologi.
Kebanyakan penghidap penyakit Crohn mempunyai waktu-waktu apabila mereka mengalami gejala dan waktu-waktu lain apabila gejala mereka terkawal. Apabila mereka mengalami gejala, ia dipanggil penyakit aktif. Apabila gejala mereka terkawal, ia dipanggil remisi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui bagaimana infliximab berbanding dengan ubatan lain atau rawatan palsu (plasebo) untuk mendapatkan remisi dalam penyakit Crohn atau menambahbaik gejala. Kami juga ingin mengetahui sejauh mana ia selamat berbanding dengan ubatan lain.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta diagihkan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan infliximab dengan sebarang rawatan perubatan lain dalam orang dewasa dengan penyakit Crohn.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 1101 peserta. Mereka melihat kepada:
– infliximab berbanding dengan plasebo (satu kajian);
– infliximab beserta analog purin berbanding dengan analog purin sahaja (empat kajian);
– infliximab berbanding dengan analog purin (ubatan dipanggil azathioprine atau 6-mercaptopurine) (dua kajian);
– infliximab berbanding dengan biosimilar (satu kajian);
– dos infliximab yang berbeza dibandingkan satu sama lain (dua kajian).
Dua kajian melihat kepada orang dengan penyakit Crohn yang mempunyai fistula. Fistula ialah terowong sempit yang boleh wujud di antara usus dan kulit anda, atau organ lain seperti pundi kencing anda.
Keputusan utama
– Infliximab beserta analog purin (azathioprine atau 6-mercaptopurine) mungkin lebih berkesan daripada analog purin sahaja untuk mendapatkan remisi dalam penyakit Crohn selepas 24 hingga 26 minggu rawatan. Ia juga mungkin lebih bagus untuk menambahbaik gejala. Kedua-dua rawatan mungkin serupa dari segi kesan sampingan.
Infliximab sahaja mungkin lebih berkesan daripada analog purin sahaja untuk mendapatkan remisi dalam penyakit Crohn dan menambahbaik gejala selepas 26 minggu rawatan. Kedua-dua rawatan mungkin serupa dari segi kesan sampingan.
Infliximab mungkin sama berkesan dengan biosimilar untuk mendapatkan remisi dalam penyakit Crohn dan menambahbaik gejala selepas enam minggu rawatan. Kedua-dua rawatan mungkin serupa dari segi kesan sampingan.
Tiada bukti yang mencukupi untuk membandingkan rawatan lain yang kami lihat dalam ulasan ini.
Apakah batasan bukti?
Bukti kebanyakannya berkualiti rendah dan sangat rendah. Ini disebabkan masalah dengan cara kajian dijalankan, bilangan orang yang mengambil bahagian adalah kecil dan masalah dengan bagaimana keputusan dilaporkan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga 4 Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).