Opioid pre-emptif dan pencegahan untuk rawatan kesakitan selepas pembedahan pada kalangan orang dewasa yang menjalani semua jenis pembedahan

Untuk menilai keupayaan dos tunggal opioid yang diberikan sebelum menjalankan pemotongan yang pertama semasa pembedahan (opioid pre-emptif) dan opioid pencegahan yang diberikan sebelum pemotongan pertama dan berterusan selepas pembedahan untuk mengurangkan kesakitan sebagai akibat pembedahan pada kalangan orang dewasa.

Soalan ulasan

Kami mengulaskan bukti tentang penahan sakit opioid (ubat penahan sakit yang kuat) apabila diberikan sebelum pembedahan jika dibandingkan dengan ubat penahan sakit yang hanya diberikan selepas pemotongan kulit dijalankan oleh pakar pembedah.

Latar belakang

Kebanyakan orang mengalami kesakitan selepas pembedahan yang memerlukan ubat penahan sakit opioid yang kuat. Ubat-ubatan ini dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan termasuk pernafasan tertekan, denyutan jantung yang perlahan, dan tekanan darah rendah, serta muntah, mengantuk, gatal-gatal dan sembelit. Mengurangkan jumlah opioid yang diperlukan dapat mengehadkan kesan sampingan tersebut dan meningkatkan pengalaman pesakit. Jika dibandingkan dengan pemberian ubat penahan sakit selepas menjalankan pemotongan yang pertama, pemberian ubat penahan sebelum pemotongan yang pertama dapat mengurangkan sensitiviti kesakitan dan mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. Kami ingin mengetahui sama ada pemberian opioid sebelum pembedahan adalah lebih berkesan daripada pemberian opioid selepas pembedahan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kesusasteraan perubatan untuk percubaan terkawal rawak (sejenis kajian di mana peserta-peserta dibahagikan ke kumpulan rawatan secara rawak) pada Mac 2018. Peserta-peserta telah dibahagikan ke salah satu kumpulan daripada dua kumpulan rawatan secara rawak. Salah satu kumpulan rawatan telah diberikan opioids sebelum pemotongan kulit dibuat oleh pakar pembedah manakala satu kumpulan lagi diberikan opioids selepas pemotongan kulit dibuat. Kami mengenal pasti 20 kajian yang melibatkan sejumlah 1343 orang peserta yang berumur lebih dari 15 tahun yang sedang menjalani pelbagai jenis pembedahan Dalam semua kecuali satu kajian peserta telah menerima anestetik am. Hampir semua peserta adalah pesakit yang berisiko rendah. Hanya satu kajian menggunakan dos opioid pre-emptif.

Keputusan-keputusan utama

Dalam satu kajian kecil (40 orang peserta) yang melibatkan orang yang menjalani pembedahan gigi, penggunaan opioids pre-emptif telah mengakibatkan pengurangan kecil dalam kesakitan yang dialami dalam enam jam pertama selepas pembedahan dan juga pada 24 hingga 48 jam berdasarkan bukti yang berkualiti rendah. Kajian ini tidak melaporkan kesan sampingan ataupun penggunaan morfin secara 24 jam.

Bagi opioid pencegahan yang diberikan sebelum pemotongan pertama dijalankan dan berterusan sepanjang hari pertama selepas pembedahan, kesakitan dalam enam jam pertama selepas pembedahan adalah sama saperti apabila dos opioid pertama diberikan selepas potongan pertama ke kulit (10 kajian; 706 orang peserta) Kesakitan selepas pembedahan selepas 24 hingga 48 jam adalah sama antara kumpulan-kumpulan rawatan yang disenaraikan. (9 kajian; 668 orang peserta) Bukti bagi kedua-dua penemuan ini adalah berkualiti sederhana Penemuan ini disokong dengan bukti-bukti yang berkualiti rendah hingga sangat rendah. Data pengurangan pemberian morfin sepanjang 24 jam adalah terlalu kecil untuk dikaitkan secara klinikal. (11 kajian; 526 orang peserta) Bukan semua kajian yang melaporkan kesan sampingan ubat, namun bilangan orang peserta yang mengalami pernafasan yang tertekan (4 kajian ; 433 orang peserta), denyut jantung yang rendah (2 kajian; 112 orang peserta) ataupun tekanan darah yang rendah (2 kajian; 88 orang peserta) adalah sama antara kumpulan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah di antara sangat rendah hingga sederhana Isu-isu utama mengenai kajian yang dimasukkan ialah risiko berat-sebelah yang tinggi disebabkan oleh batasan bagaimana hasil penemuan disampaikan, reka bentuk dan kelakuan kajian dan variasi dalam penemuan yang menyebabkan ketidakpastian dalam hasil kajian tersebut. Akibatnya, kami tidak menjumpai bukti yang meyakinkan bahawa pemberian ubat opioid sebelum permulaan pembedahan dapat mengurangkan kesakitan selepas pembedahan ataupun dos opioid yang berterusan selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information