Intervensi untuk menambahbaik tidur pada orang dewasa dan kanak-kanak dengan penyakit buah pinggang

Apakah isunya?

Orang dengan penyakit buah pinggang boleh mengalami masalah tidur yang teruk berkaitan dengan penggunaan ubat-ubatan, kemurungan, kegelisahan, kesakitan dan kegatalan yang mempengaruhi kualiti tidur itu sendiri, termasuk waktu yang diperlukan untuk tidur, tidur nyenyak dan jumlah masa yang dihabiskan dengan tidur. Penyakit buah pinggang dikaitkan dengan gangguan pernafasan tidur yang boleh menurunkan kualiti tidur. Kami melihat sama ada rawatan boleh membantu meningkatkan kualiti tidur bagi orang yang mempunyai penyakit buah pinggang. Kami mencari kajian yang melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa dengan penyakit buah pinggang, termasuk mereka yang dirawat dengan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Apa yang kami lakukan?

Kami melihat pangkalan data elektronik untuk mencari kajian penyelidikan mengenai sebarang rawatan yang dirancang untuk membantu dengan masalah tidur. Kajian perlu dilakukan secara rawak (dengan kata lain, pesakit perlu memiliki peluang yang sama bahawa mereka mungkin mendapat salah satu rawatan dalam kajian ini). Kami mengumpulkan maklumat dari kajian-kajian dan menggabungkannya untuk mengenal pasti sama ada rawatan adalah membantu atau terdapatnya kesan sampingan yang penting. Kami melihat seberapa pastikah kami terhadap rawatan tersebut membawa sebarang kesan berdasarkan seberapa baikkah kajian dijalankan (kualiti). Maklumat dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Oktober 2018.

Apa yang kami dapati?

Kami menemui 67 kajian yang melibatkan 3427 orang dewasa. Kami tidak menemui kajian untuk kanak-kanak. Rawatan untuk tidur termasuk relaksasi, senaman, ubat-ubatan, pendidikan, sokongan psikologi, akupresur, muzik, aromaterapi, dan urut. Umumnya, kajian-kajian adalah kecil dan kebanyakannya tidak memberitahu kami tentang faedah dan keselamatan rawatan. Kami tidak menemui maklumat yang baik mengenai relaksasi, senaman, atau ubat-ubatan. Kami menemui bahawa akupresur mungkin mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk tidur dan dapat meningkatkan masa yang dihabiskan untuk tidur. Tetapi kesan ini pada tidur adalah tidak kelihatan apabila akupresur dibandingkan dengan akupresur "pura-pura" atau "palsu". Maklumat adalah tidak mencukupi untuk belajar mengenai kesan sampingan rawatan, atau untuk mengetahui tentang rawatan yang dirancang untuk membantu meningkatkan pernafasan ketika tidur.

Kesimpulan

Maklumat mengenai cara untuk membantu menambahbaik tidur bagi orang yang menghidap penyakit buah pinggang adalah tidak bersedia untuk membantu pesakit secara langsung. Penyelidikan baru berkemungkinan besar akan mengubah pengetahuan kita mengenai rawatan untuk tidur dalam kalangan orang yang menghidap penyakit buah pinggang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan in sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information