Paras oksigen lebih tinggi atau lebih rendah bagi orang dewasa di unit rawatan intensif

Soalan ulasan

Kami berhasrat mengemas kini penilaian sama ada lebih oksigen tambahan adalah lebih baik daripada kurang oksigen tambahan untuk orang dewasa di unit rawatan intensif (ICU).

Latar belakang

Orang dewasa di ICU adalah mereka yang sakit kritikal dan berisiko tinggi mati. Oksigen tambahan atau terapi disediakan untuk kebanyakan pesakit dewasa di ICU. Sakit yang teruk boleh menyebabkan kurang oksigen dalam darah yang membuat pesakit berisiko paras oksigen rendah dan kegagalan organ. Penggunaan sedatif dan ubat tahan sakit yang kuat boleh menurunkan pernafasan dan paras oksigen. Secara am, oksigen tambahan yang bebas diberi mungkin menyebabkan paras oksigen yang terlalu tinggi. Walaupun kurang bukti kukuh tentang keberkesanannya, pemberian oksigen tambahan telah meluas disyorkan dalam garis panduan amalan klinikal antarabangsa. Walau bagaimanapun, garis panduan yang lebih baharu tidak mengesyorkan paras oksigen yang tinggi kerana beberapa kajian walaupun tidak semua, menunjukkan kaitan amalan ini dan peningkatan risiko kematian. Potensi manfaat oksigen tambahan mesti dipertimbang dengan potensi kesan mudarat jika diberi terlalu banyak.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 19 kajian rawak terkawal (RCT) di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan tahap oksigen lebih tinggi atau lebih rendah yang melibatkan 10,385 peserta sehingga November 2022. Tujuh belas kajian (10,248 peserta) memberi penemuan bilangan kematian, kejadian buruk yang serius (SAE), kualiti hidup, dan risiko kecederaan paru-paru, serangan jantung, atau strok pada bila-bila masa selepas terapi oksigen di ICU. Kecederaan paru-paru diukur melalui bilangan peserta yang mengalami sindrom distres pernafasan akut atau pneumonia. Empat kajian menyertakan peserta yang sakit sahaja; dua kajian menyertakan pesakit pembedahan sahaja. Dua kajian menilai orang dewasa dengan kecederaan otak traumatik; dua kajian menilai orang dewasa yang diresusitasi dari serangan jantung di luar hospital; dan satu kajian menilai orang dewasa dengan strok. Dalam 11 kajian, semua peserta menerima ventilasi mekanikal invasif melalui tiub yang dimasuk ke dalam trakea; enam kajian melibatkan orang dewasa yang diventilasi mekanikal dan yang tidak. Dua kajian melibatkan orang dewasa yang bernafas semula jadi dan yang diberi oksigen. Penggunaan lebih banyak oksigen dibanding dengan kurang oksigen dalam semua kajian, tetapi paras sebenar oksigen sangatlah berbeza di antara kajian-kajian yang dikenal pasti.

Terapi oksigen disediakan untuk tempoh yang berbeza-beza iaitu di antara satu jam hingga keseluruhan tempoh di penjagaan intensif (sehingga 90 hari).

Keputusan utama

Selepas kemas kini ulasan ini, kami masih tidak pasti tentang kesan paras oksigen yang lebih tinggi berbanding lebih rendah kerana penemuan kami adalah berdasarkan bukti kepastian rendah atau sangat rendah.

Kami tidak menemui bukti kesan bermanfaat paras oksigen yang lebih tinggi berbanding yang lebih rendah untuk pesakit ICU dewasa, tidak juga risiko kematian (16 kajian; 9408 peserta), risiko SAE (17 kajian, 9466 peserta), kualiti hidup (2 kajian, 1649 peserta), risiko kecederaan paru-paru (8 kajian; 2048 peserta), risiko serangan jantung (4 kajian, 5002 peserta), atau risiko strok (5 kajian, 6110 peserta). Kami mendapati potensi pengurangan risiko sepsis baharu ('keracunan darah') semasa kemasukan di ICU dengan paras oksigen yang lebih tinggi (3 kajian, 752 peserta).

Apakah batasan bukti?

Bilangan peserta yang didaftar dalam kajian adalah terlalu kecil untuk membolehkan pertimbangan yang jelas tentang saiz kesan intervensi terhadap hasil yang dinilai dalam ulasan ini. Kajian-kajian adalah berbeza-beza mengikut jenis penyakit, penjagaan klinikal yang berkaitan, keterukan penyakit, sasaran kuantiti oksigen yang diberi, dan tempoh pemberian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information