Mesej utama
• Memberikan ubat yang merangsang sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah (ESA) dengan suplemen zat besi mungkin mengurangkan bilangan pemindahan darah, tetapi juga menyebabkan lebih banyak kematian dan meningkatkan bilangan kesan yang tidak diingini, seperti pembekuan darah.
• Disebabkan kehilangan data daripada kajian kami tidak dapat membandingkan pilihan rawatan yang berbeza antara satu sama lain dan menentukan kedudukannya.
• Kami memerlukan lebih banyak kajian yang membandingkan ubat-ubatan ini antara satu sama lain secara langsung.
Apakah anemia dan mengapa pesakit kanser menghidapinya?
Anemia terjadi apabila paras sel darah merah terlalu rendah. Sel darah merah mengandungi protein yang dikenali sebagai hemoglobin. Molekul besi dalam hemoglobin mengikat oksigen dan membawanya ke seluruh badan. Kekurangan oksigen ke organ dan tisu dalam badan menyebabkan orang berasa letih dan kekurangan tenaga, dan mereka mungkin lebih berisiko untuk dijangkiti. Pesakit kanser lebih berkemungkinan mengalami anemia. Ini mungkin disebabkan kanser menyebabkan keradangan dan menghalang penghasilan sel darah merah. Atau ia mungkin disebabkan rawatan seperti kemoterapi melambatkan penghasilan sel darah merah dalam sumsum tulang.
Orang yang mengalami anemia mungkin memerlukan pemindahan darah. Walau bagaimanapun, rawatan dengan ubat-ubatan yang merangsang pengeluaran sel darah merah dalam sumsum tulang (dikenali sebagai agen perangsang erythropoiesis atau ESA) dan suplemen zat besi mungkin mengurangkan keperluan untuk pemindahan.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengenal pasti rawatan yang paling berkesan untuk anemia dalam pesakit kanser dan sama ada ia menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini. Kami berminat untuk mengetahui sama ada suplemen zat besi atau ESA yang diberikan secara asing atau bersama menjejaskan:
• kematian;
• paras hemoglobin;
• pemindahan darah; dan
• kesan yang tidak diingini;
Kami juga ingin mengetahui cara terbaik untuk memberi ubat: melalui suntikan (intravena), atau telan (oral).
Apa yang kami buat?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan intravena, oral atau tanpa zat besi dengan atau tanpa ESA untuk pencegahan atau rawatan anemia akibat kemoterapi, radioterapi, terapi gabungan atau kanser yang mendasari dalam pesakit kanser. Kami telah membandingkan dan meringkaskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan jumlah peserta. Kami telah menggunakan keadah statistik untuk membandingkan berbilang rawatan antara satu sama lain dan menyusunnya mengikut urutan keberkesanan dan kesan yang tidak diingini.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 96 kajian berkaitan dengan 25,157 orang. Peserta kajian mempunyai umur yang berbeza dan menerima gabungan rawatan anti-kanser atau tiada rawatan. Mereka mengalami kanser yang berbeza jenis.
Sembilan puluh dua kajian melaporkan data untuk kajian kami. Mereka menyertakan 24,603 orang dan membandingkan 12 pilihan rawatan yang berbeza untuk anemia. Rawatan termasuklah gabungan ESA dengan zat besi intravena atau oral dan plasebo (sesuatu yang mempunyai rupa, rasa dan bau yang sama dengan suplemen zat besi atau ESA tetapi tanpa bahan aktif).
Bukan setiap kajian melaporkan semua yang kami minati, jadi kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membandingkan setiap rawatan dengan rawatan lain.
Rawatan dengan ESA apabila digunakan sendiri atau dengan zat besi mungkin meningkatkan tahap sel darah merah dan mengurangkan keperluan untuk pemindahan sel darah merah jika dibandingkan tanpa rawatan. Kami tidak boleh menolak peningkatan risiko kematian dengan ESA dalam gabungan dengan zat besi, yang juga kelihatan menyebabkan lebih banyak kematian dan membawa kepada peningkatan risiko bahaya yang disebabkan oleh pembentukan bekuan dalam saluran darah.
Keyakinan kami terhadap penemuan
Secara keseluruhan, kami adalah sederhana yakin dengan bukti bahawa satu rawatan adalah lebih baik atau lebih teruk daripada yang lain. Keyakinan kami terhad kerana kadangkala kami menemui keputusan yang sangat berbeza untuk rawatan yang sama, bermakna ia mungkin baik dan buruk untuk pesakit - kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mencapai kesimpulan yang kukuh. Selain itu, kerana kekurangan bukti kami tidak dapat menentukan kedudukan rawatan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021.
Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric Inc.). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my