Lengkokan sklera dan vitrektomi dalam penanggalan retina

Apakah matlamat ulasan ini?
Untuk mengetahui keberkesanan dan keselamatan penggabungan vitrektomi dan lengkokan sklera berbanding dengan vitrektomi sahaja untuk mata dengan luka retina gergasi.

Mesej utama
Pada masa ini, tiada bukti kukuh yang tersedia daripada kajian terkawal rawak yang membandingkan keberkesanan dan keselamatan menggunakan prosedur penggabungan lengkokan sklera dan vitrektomi untuk luka retina gergasi dengan menggunakan vitrektomi sahaja.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Retina adalah lapisan nipis dalaman yang berada di bahagian belakang mata dan membantu untuk menghantar rangsangan visual ke otak. Retina juga berada di sebahagian daripada jasad vitreus, iaitu bendalir seperti jeli di dalam mata. Luka retina gergasi berlaku apabila jasad vitreus terpisah daripada retina (dikenali sebagai pemisahan retina) dan mewujudkan lubang (luka pada retina) dalam saiz tertentu. Bagi mereka yang menghadapi masalah pemisahan retina yang berkaitan dengan luka retina gergasi, vitrektomi biasanya dilakukan segera untuk mencegah kehilangan penglihatan yang kekal. Vitrektomi adalah sejenis pembedahan mata di mana seorang doktor membuang vitreus dan menggantikannya dengan cecair yang lain.

Bagi mereka yang mempunyai pemisahan retina yang perlu menjalani vitrektomi, prosedur ini boleh digabungkan dengan lengkokan sklera. Lengkokan sklera adalah prosedur untuk membaiki pemisahan retina di mana seorang doktor melekat sekeping silikon atau span pada mata putih (sklera). Penggunaan lengkokan sklera boleh membantu dalam penyambungan retina.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Pengkaji-pengkaji Cochrane mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui hanya dua abstrak persidangan, dan kedua-dua abstrak ini tidak diterbitkan sepenuhnya. Pengkaji-pengkaji Cochrane juga telah menghubungi penyelidik-penyelidik kedua-dua kajian ini tetapi tidak menerima maklumat tambahan.

Mereka yang mengalami luka retina gergasi serta pakar bedah yang merawat mereka memerlukan bukti untuk mengetahui sama ada penggabungkan lengkokan sklera dengan vitrektomi adalah berguna. Mereka memerlukan lebih banyak maklumat tentang prosedur pembedahan berkaitan dengan kadar penyambungan semula retina yang lebih tinggi dan risiko pembedahan yang lebih rendah. Kajian masa depan perlu mendapatkan maklumat tentang hasil bagi mereka yang mengalami keadaan ini, seperti sejarah perubatan mata dan sistemik, penemuan tentang mata dan luka retina, penambahan penglihatan melalui pembedahan, dan kesan buruk yang berkaitan dengan pembedahan.

Adakah ulasan ini terkini?
Pengkaji-pengkaji Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 16 Ogos 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my

Tools
Information