Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada terdapat perbezaan dalam keberkesanan dan keselamatan implantasi kanta yang mengandungi tiga kawasan yang membetulkan jarak, pertengahan dan penglihatan dekat (trifokal) ke dalam mata semasa pembedahan katarak berbanding dengan kanta yang mengandungi dua kawasan yang membetulkan jarak dan penglihatan dekat (bifokal) pada orang yang mengalami katarak.
Mesej utama
Kami mendapati bahawa orang yang menerima kanta trifokal selepas pembedahan katarak mereka mungkin mengalami peningkatan dalam ketajaman penglihatan pertengahan yang tidak diperbetulkan (ketajaman penglihatan) pada satu tahun berbanding dengan mereka yang telah menerima kanta bifokal, tetapi kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti. Tiada bukti perbezaan antara kanta trifokal dan bifokal untuk ketajaman penglihatan jauh yang tidak dibetulkan, ketajaman penglihatan dekat yang tidak dibetulkan, dan ketajaman penglihatan jauh yang dibetulkan paling baik pada satu tahun. Kesan kanta trifokal dan bifokal terhadap kualiti hidup dan keupayaan untuk membezakan antara kenaikan halus cahaya dan gelap (kepekaan kontras) kekal tidak pasti.
Apakah presbiopia, dan bagaimana ia dirawat?
Presbiopia adalah keadaan kanta mata yang berkaitan dengan usia yang menyebabkan kehilangan secara beransur-ansur keupayaan untuk fokus pada objek berdekatan. Perubahan kanta berkaitan usia selanjutnya boleh menyebabkan kehilangan kejelasan kanta (katarak) menyebabkan kehilangan ketajaman penglihatan dan kepekaan kontras. Kanta dengan tiga atau dua bahagian (masing-masing trifokal atau bifokal) adalah teknologi baru yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan pada penggunaan cermin mata selepas pembedahan katarak.
Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian yang mengkaji kanta trifokal berbanding bifokal pada orang yang mempunyai presbiopia. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami dapati?
Kami mendapati tujuh kajian berkaitan yang dijalankan di Eropah dan Turki dengan jumlah 331 orang dengan presbiopia.
Kami mendapati implantasi kanta trifokal pada masa pembedahan katarak mungkin meningkatkan ketajaman penglihatan pertengahan pada satu tahun. Kami mendapati tiada bukti perbezaan antara kanta trifokal dan bifokal untuk ketajaman penglihatan jauh yang tidak dibetulkan, ketajaman penglihatan dekat yang tidak dibetulkan, dan ketajaman penglihatan jauh yang dibetulkan paling baik pada satu tahun. Tidak pasti sama ada trifokal berbanding dengan implantasi kanta bifokal mempunyai sebarang kesan pada kualiti hidup atau kepekaan kontras.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana kami tidak jelas tentang cara kajian dijalankan, dan kami menemui hanya sedikit kajian yang berkaitan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 31 Mac 2022.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my