Matlamat ulasan
Matlamat ulasan ini adalah untuk menyiasat keberkesanan intervensi, seperti program, polisi atau amalan kerja, untuk mencegah dan mengurangkan keagresifan terhadap pekerja penjagaan kesihatan oleh pesakit dan individu yang menyokong pesakit.
Mesej utama
Terdapat bukti terhad sesetengah intervensi mungkin mengurangkan keagresifan terhadap pekerja penjagaan kesihatan. Bukti sedia ada dianggap berkualiti rendah atau sangat rendah. Ini bermakna kami tidak yakin dengan keputusan-keputusan. Sebilangan besar kajian dibuat di rumah jagaan atau di wad psikiatri hospital.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kami mencari kajian yang menilai keberkesanan intervensi, seperti program, polisi atau amalan kerja untuk mencegah atau mengurangkan keagresifan terhadap pekerja penjagaan kesihatan. Kami memasukkan tujuh kajian dalam ulasan. Kajian-kajian menggunakan pelbagai intervensi yang berlangsung di rumah jagaan, wad psikiatri hospital dan jabatan kecemasan hospital.
Keputusan utama
Dalam persekitaran rumah jagaan, dua intervensi menghasilkan keputusan yang bercampur-campur dengan pengurangan sederhana keseluruhan agresi terhadap pekerja penjagaan kesihatan, tetapi tiada penurunan yang konsisten dalam agresi fizikal atau verbal. Intervensi adalah memainkan muzik semasa waktu mandi, dan menggunakan teknik mandi tertentu. Budaya tumpuan perseorangan membawa pengurangan sederhana dalam agresi fizikal tetapi tidak bagi agresi verbal. Intervensi badut humor tidak menghasilkan bukti jelas pengurangan agresi.
Dalam persekitaran psikiatri, hanya ada satu intervensi, penilaian risiko regular pesakit, yang menunjukkan pengurangan agresi terhadap pekerja penjagaan kesihatan. Intervensi multikomponen terhadap dasar, persekitaran, dan amalan kerja tidak menghasilkan bukti jelas pengurangan agresi.
Di jabatan kecemasan ada satu intervensi yang melibatkan perubahan polisi dan prosedur, persekitaran fizikal dan pendidikan dan latihan tetapi ia tidak berkesan terhadap agresi.
Tiada kajian yang melaporkan kesan berbahaya akibat intervensi mereka.
Kami menilai kualiti keseluruhan bukti sangat rendah. Kajian-kajian tersebut bermasalah reka bentuk atau tidak menjelaskan reka bentuk dengan terperinci. Setiap kajian-kajian tersebut mengukur hasil yang berbeza yang mengakibatkan kurang konsistensi di antaranya.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Carian ulasan adalah terkini sehingga 25 Mei 2019. Sebarang kajian yang diterbitkan selepas tarikh ini tidak termasuk dalam ulasan.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my