Kalsium dan vitamin D bagi meningkatkan kesihatan tulang di kalangan wanita pramenopaus yang sihat

Mesej utama

Bukti menunjukkan bahawa suplemen kalsium, vitamin D, atau kalsium beserta vitamin D tidak memberikan kesan terhadap ketumpatan mineral tulang di mana-mana bahagian (pinggul atau tulang belakang) di kalangan wanita pramenopaus yang sihat.

Apakah itu osteoporosis?

Osteoporosis berlaku apabila kandungan kalsium dan garam mineral jenis lain dalam tulang (dipanggil ketumpatan mineral tulang) adalah rendah. Ini mengakibatkan rongga terbentuk di dalam tulang dan dinding luar tulang menipis lalu menjadikan tulang lebih rapuh, yang mungkin mengakibatkan peningkatan kepatahan dan kecederaan tulang.

Osteoporosis merupakan masalah kesihatan awam yang besar dan menyumbang kepada lebih daripada 8.9 juta kepatahan tulang setiap tahun, yang bermakna secara puratanya, kepatahan tulang osteoporosis berlaku setiap tiga saat. Suplemen kalsium dan vitamin D sering disyorkan untuk wanita selepas menopaus (walaupun tidak dipersetujui semua pihak), tetapi suplemen kalsium dan vitamin D yang mencukupi sentiasa disarankan kepada mereka yang di bawah perlindungan institusi (contohnya mereka yang tinggal di rumah jagaan) dan mereka yang mengambil rawatan untuk osteoporosis. Tidak banyak yang diketahui tentang kesan kalsium dan vitamin D terhadap ketumpatan tulang wanita yang belum menopaus lagi. Terdapat beberapa kajian untuk kumpulan usia ini dan keputusannya tidak dapat disimpulkan. Dalam kumpulan usia ini, meningkatkan kekuatan tulang dan kesihatan dianggap sebagai matlamat untuk suplemen, jadi ketumpatan mineral tulang adalah relevan.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin menentukan sama ada kalsium dan vitamin D dapat meningkatkan kandungan mineral tulang dan mengurangkan risiko kepatahan tulang, dan melaporkan kesan sampingan suplemen yang mungkin.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang direka baik tentang suplemen kalsium atau vitamin D sahaja atau kombinasi keduanya berbanding dengan plasebo (rawatan palsu) di kalangan wanita sihat berusia 18 hingga 45 tahun (pramenopaus). Kami menganalisa tiga kombinasi: kalsium berbanding plasebo, vitamin D berbanding plasebo, dan kalsium beserta vitamin D berbanding plasebo, yang diberikan selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Kami melihat kesannya terhadap peningkatan mineral dalam tulang pinggul dan tulang belakang, sekiranya wanita mengalami kepatahan tulang vertebra (tulang belakang) atau mana-mana tulang lain semasa kajian dijalankan, kesan terhadap kualiti hidup, dan sekiranya wanita terpaksa menghentikan suplemen disebabkan kesan sampingan.

Apa yang kami dapati?

Kami menyertakan tujuh kajian melibatkan 941 wanita pramenopaus yang sihat dengan purata umur setiap kajian 18 hingga 42.1 tahun. Wanita-wanita tersebut telah diperuntukkan secara rawak untuk menerima suplemen kalsium, vitamin D, atau vitamin D beserta kalsium, atau plasebo.

Keputusan utama

Terdapat tiada perbezaan dalam ketumpatan mineral tulang untuk mana-mana kumpulan yang diberikan suplemen kalsium, vitamin D, atau kalsium beserta vitamin D berbanding dengan plasebo. Kajian tidak melaporkan kepatahan tulang (dari mana-mana bahagian anatomi), kualiti hidup, atau pemberhentian suplemen disebabkan kesan sampingan.

Apakah batasan bukti?

Batasan biasa dalam kaedah kajian termasuklah bilangan peserta, kajian, dan data yang kecil; isu dalam mematuhi rawatan, peserta mungkin mengetahui rawatan manakah yang mereka terima; dan kekurangan maklumat untuk menarik diri daripada rawatan. Pembiayaan untuk kajian telah diberikan oleh institusi, akademik, kerajaan, dan industri farmaseutikal.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information