Soalan ulasan
Kami mengulas bukti mengenai kesan intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit untuk membantu orang dalam mengambil ubatan mereka untuk mencegah penyakit kardiovaskular (contohnya, serangan jantung dan strok).
Latar belakang
Sekitar 17.6 juta orang meninggal dunia disebabkan oleh penyakit kardiovaskular setiap tahun. Ubat-ubatan boleh mencegah penyakit kardiovaskular, tetapi ramai orang yang diberi ubat-ubatan ini tidak mengambilnya dengan kerap atau konsisten seperti yang dicadangkan. Ini bermakna ubatan tersebut tidak akan berfungsi seperti yang sepatutnya untuk mencegah penyakit kardiovaskular. Intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit, contohnya, melalui pesanan teks, mungkin adalah cara kos-rendah untuk membantu orang mengambil ubatan mereka seperti yang dicadangkan.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020. Kami menemui 14 kajian yang menilai intervensi yang disampaikan sekurang-kurangnya sebahagiannya melalui telefon bimbit, yang membuat susulan terhadap peserta untuk sekurang-kurangnya 12 bulan.
Keputusan utama
Kami tidak dapat menggabungkan keputusan kebanyakan kajian tersebut kerana intervensi-intervensinya adalah amat berbeza. Dua kajian berisiko bias yang rendah dan 12 kajian berisiko bias yang tinggi. Keputusan intervensi adalah tidak konsisten merentasi kajian-kajian, oleh itu kami tidak yakin terhadap keputusan mereka. Pemantauan sendiri terhadap tekanan darah serta sokongan teleperubatan melalui telefon bimbit dapat meningkatkan kawalan tekanan darah, tetapi kami tidak yakin tentang penemuan ini kerana kajian-kajian berisiko bias. Intervensi yang disampaikan melalui pesanan teks sahaja mungkin mempunyai sedikit atau tidak ada kesan pada kawalan tekanan darah. Intervensi yang merangkumi pesanan teks dan latihan doktor atau sokongan keputusan doktor (dengan atau tanpa ciri tambahan) mungkin mempunyai sedikit atau tidak ada kesan pada tekanan darah atau kolesterol. Kesan intervensi yang merangkumi pesanan teks dan sokongan penyedia (dengan atau tanpa ciri lain) adalah tidak konsisten merentasi kajian-kajian, dan oleh itu kami tidak yakin dengan penemuan mereka. Kami tidak pasti mengenai kesan aplikasi yang dimiliki oleh pesakit atau aplikasi dengan tambahan sokongan penyedia. Beberapa intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit mungkin membantu orang untuk mengambil ubatan mereka, tetapi faedahnya adalah kecil atau sederhana. Beberapa kajian mendapati bahawa intervensi tersebut tidak memberi kesan yang bermanfaat. Tidak ada bukti yang mencadangkan bahawa jenis intervensi ini menyebabkan bahaya.
Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my