Menambahkan semburan sisa dalaman dalam komuniti menggunakan jaring yang dirawat dengan racun serangga untuk pencegahan malaria

Apakah matlamat ulasan ini?

Penyemburan sisa dalaman (indoor residual spraying, IRS) ialah penggunaan biasa racun serangga kimia ke atas dinding rumah. Racun serangga bertahan selama beberapa bulan, membunuh nyamuk yang hinggap diatasnya. Kelambu dirawat racun serangga (insecticide-treated net, ITN) ialah kelambu yang dirawat dengan racun serangga, menghalang nyamuk daripada menggigit orang dan mengurangkan populasi nyamuk. Kedua-dua intervensi membantu mengawal malaria dengan mengurangkan bilangan orang yang digigit nyamuk yang dijangkiti malaria. Pelaksanaan IRS dalam komuniti yang menggunakan ITN mungkin lebih baik untuk kawalan malaria daripada menggunakan ITN sahaja kerana dua intervensi mungkin lebih baik daripada satu; tetapi juga kerana ia boleh meningkatkan kawalan malaria di mana nyamuk telah merintang terhadap racun serangga piretroid yang digunakan dalam ITN. Piretroid ialah satu-satunya kelas racun serangga yang diluluskan untuk digunakan dalam ITN sehingga 2018, tetapi rintangan nyamuk yang semakin meningkat terhadap piretroid menjejaskan keberkesanannya. Penambahan IRS boleh mengatasi kekurangan keberkesanan ITN ini dan boleh membantu melambatkan kemunculan rintangan piretroid. Kami boleh menjangkakan bahawa racun serangga IRS yang mempunyai kaedah kerja yang berbeza daripada piretroid (‘bukan seperti piretroid’) boleh memulihkan keberkesanan lebih baik daripada yang mempunyai cara kerja yang sama (‘seperti piretroid’). Matlamat ulasan ini adalah untuk meringkaskan kesan IRS seperti piretroid atau bukan seperti piretroid kepada malaria, apabila dilaksanakan dalam komuniti yang menggunakan ITN.

Mesej utama

Penambahan IRS menggunakan racun serangga bukan seperti piretroid dikaitkan dengan pengurangan kadar malaria. Insiden malaria secara puratanya juga boleh dikurangkan, tetapi kesan ini tidak wujud dalam dua kajian, dan akibatnya masih terdapat ketidakpastian sama ada intervensi ini ada berkesan dalam semua persekitaran.

Apabila racun serangga seperti piretroid digunakan untuk IRS, data adalah terhad tetapi tiada kesan tambahan yang ditunjukkan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami mencari kajian yang menilai kesan terhadap jangkitan malaria apabila IRS, menggunakan dos yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), dilaksanakan dalam komuniti yang menggunakan sama ada produk ITN yang telah dirawat atau jaring biasa yang dirawat dengan racun serangga dengan dos yang disyorkan oleh WHO. Kami mengambil kira kesan-kesan kepada hasil kesihatan manusia dan kepada populasi nyamuk.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Secara keseluruhan, kami mengenal pasti 10 kajian yang sepadan dengan kriteria kemasukan kami, yang mana kami membuat 12 perbandingan. Tujuh kajian (menyediakan lapan perbandingan) menggunakan IRS bukan seperti piretroid sepanjang kajian. Setiap kajian dijalankan di kawasan di mana vektor dikatakan sebagai rintang atau sangat rintang terhadap piretroid. Dua kajian (menyediakan dua perbandingan) menggunakan IRS seperti piretroid sepanjang masa. Satu kajian lanjut menggunakan IRS seperti piretroid pada tahun kajian pertama dan bertukar kepada IRS bukan seperti piretroid pada tahun berikutnya, oleh itu menyediakan dua perbandingan yang berbeza. Kajian-kajian ini dijalankan di sub-Sahara Afrika.

Penambahan IRS bukan seperti piretroid dalam komuniti yang menggunakan ITN nampaknya meningkatkan hasil malaria dalam kebanyakan persekitaran. Secara keseluruhan, hasil daripada lapan kajian termasuk mendapati kadar parasit malaria yang lebih rendah, sementara mungkin terdapat pengurangan dalam insiden malaria dan kadar anemia. Kami tidak tahu sama ada terdapat kesan ke atas bilangan gigitan yang dijangkiti yang diterima setiap orang dalam setahun.

Apabila menambah IRS seperti piretroid dalam komuniti yang menggunakan ITN, data daripada tiga kajian menunjukkan mungkin tiada kesan ke atas kejadian malaria atau kelaziman parasit, dan mungkin terdapat sedikit atau tiada kesan ke atas kelaziman anemia. Data berkaitan bilangan gigitan yang dijangkiti yang diterima setiap orang setahun adalah terlalu terhad untuk membuat kesimpulan.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang berkaitan sehingga 8 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information