Apakah itu penyemburan ruang persekitaran dan bagaimana cara tindakannya?
Penyemburan ruang persekitaran merupakan penyemburan insektisid di persekitaran luar bagi membunuh serangga dewasa. Insektisid disebar menggunakan peralatan yang dipegang dengan tangan, dipasang pada kenderaan atau kapal terbang bagi mengeluarkan kabut. Penyemburan ruang persekitaran selalu digunakan dalam program-program kesihatan awam dan kawalan serangga perosak, termasuk kegunaan sebagai respons kecemasan kepada wabak malaria. Kelambu tidur yang dirawat dengan insektisid dan penyemburan insektisid dalam bangunan merupakan dua intervensi paling lazim digunakan oleh program-program malaria untuk mengawal populasi nyamuk. Kedua-dua intervensi adalah berkesan dalam mengurangkan hubungan antara manusia dengan spesis nyamuk yang menggigit di dalam bangunan. Jika berjaya, penyemburan ruang persekitaran boleh mengurangkan populasi nyamuk yang menggigit di luar bangunan, dan mungkin membantu dalam mengurangkan penularan malaria daripada spesis nyamuk yang paling sedikit terkesan oleh usaha-usaha kawalan yang biasa. Pada masa ini, bagaimanapun, masih terdapat kurang kepastian yang sama ada penyemburan ruang persekitaran mempunyai impak ke atas penularan malaria.
Apakah matlamat ulasan ini?
Sebagai panduan bagi membuat keputusan untuk program kawalan malaria, tujuan Ulasan Cochrane ialah untuk meringkaskan tindakan-tindakan yang telah diambil dan melaporkan penemuan-penemuan kajian yang menilai impak penyemburan ruang persekitaran ke atas penularan malaria.
Apakah penemuan-penemuan utama ulasan ini?
Setelah mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 18 April 2018, kami mengenalpasti empat kajian yang dijalankan antara 1972 dan 2000. Menerusi empat kajian, berbagai kaedah penyampaian insektisid telah digunakan, termasuk peralatan penyemburan yang dipegang tangan, dipasangkan pada kenderaan, dan dipasangkan pada kapal terbang. Berbagai jenis insektisid yang berbeza, dos-dos, dan masa-masa penyemburan telah digunakan sesuai dengan persekitaran setempat dan tingkah laku spesis nyamuk yang menjadi tumpuan.
Dalam tiga kajian, bukti didapati tidak sesuai untuk digunakan bagi menilai dengan yakin tentang impak penyemburan ruang ke atas bilangan kes malaria. Kajian-kajian yang selebihnya, yang dijalankan dalam satu negeri di India dan meliputi gabungan populasi seramai 18,460 orang, melaporkan bilangan kes malaria pada tahun-tahun sebelum dan selepas penyemburan ruang persekitaran dijalankan. Bukti mencadangkan penyemburan ruang persekitaran membawa kepada pengurangan pada bilangan kes malaria, tetapi kajian ini dijalankan pada 30 tahun yang lalu dan hanya di dalam satu negeri di India, kami tidak dapat pastikan dakah penemuan-penemuan ini boleh digunapakai untuk kawasan-kawasan lain di mana malaria berlaku. Penyelidikan yang lebih diyakini di dalam pelbagai persekitaran mungkin dapat membantu untuk menentukan sama ada ntervensi ini berguna dan bilakah ianya sesuai untuk digunakan.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my