Intervensi untuk kemandulan yang tidak dapat dijelaskan: ulasan sistematik dan meta-analisis

Soalan ulasan
Penyelidik-penyelidik dalam Cochrane mengkaji semula bukti mengenai keberkesanan dan keselamatan rangsangan ovari (OS), permanian beradas (IUI), OS-IUI, dan persenyawaan in vitro (IVF) dengan atau tanpa suntikan intrasitoplasmik sperma (ICSI) berbanding pengurusan pada pasangan dengan kemandulan yang tidak dapat dijelaskan.

Latarbelakang
Pilihan rawatan untuk kemandulan yang tidak dapat dijelaskan termasuk pengurusan pada pasangan serta rawatan yang aktif seperti rangsangan ovari (OS), permanian beradas (IUI), OS-IUI, dan persenyawaan in vitro (IVF) dengan atau tanpa suntikan intrasitoplasmik sperma (ICSI). Rangkaian meta-analisis menjana bukti perbandingan secara langsung dan tidak langsung dan ia membolehkan penyelidik menilai keberkesanan lebih daripada dua intervensi untuk keadaan yang sama, supaya pakar perubatan boleh menggunakan bukti tersebut untuk menawarkan rawatan yang terbaik. Oleh itu, kami membandingkan semua pilihan rawatan yang berbeza menggunakan rangkaian meta-analisis, untuk mendapatkan lebih maklumat dalam membuat keputusan klinikal.

Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 27 kajian rawak terkawal membandingkan rawatan-rawatan ini antara satu sama lain dalam jumlah 4349 pasangan dengan kemandulan yang tidak dapat dijelaskan. Bukti adalah terkini sehingga September 2018.

Keputusan-keputusan utama
Bukti perbezaan dalam kelahiran hidup antara pengurusan pasangan dan empat rawatan lain (OS, IUI, OS-IUI, dan IVF/ICSI) tidak mencukupi. Jika peluang kelahiran hidup bawah pengurusan pasangan dianggap mempunyai peluang 17%, apabila mengikuti OS, IUI, OS-IUI, dan IVF peluang adalah 9% hingga 28%, 11% hingga 33%, 15% hingga 37%, dan 14% hingga 47%, masing-masing. Berbanding pengurusan pasangan/IUI, OS boleh meningkatkan peluang untuk kehamilan kembar, dan OS-IUI mungkin meningkatkan peluang untuk kehamilan kembar. Bukti menunjukkan perbezaan antara IVF/ICSI dan pengurusan pasangan untuk kehamilan kembar tidak mencukupi. Jika peluang kehamilan kembar bagi pasangan yang mengikuti pengurusan/IUI, dianggar 1%, peluang bagi mengikuti OS, OS-IUI, dan IVF/ICSI akan menjadi 1% kepada 5%, 1% hingga 5%, dan 0% kepada 6%, masing-masing.

Kepastian bukti
Kepastian bukti keseluruhan adalah rendah kepada sederhana. Batasan utama adalah ketidaktepatan (tidak cukup bilangan pasangan dikaji) dan kepelbagaian (pasangan dalam kajian sedia ada mempunyai ciri klinikal yang berbeza).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information