Mesej utama
Kami tidak menemui bukti yang jelas untuk menyokong atau menolak penggunaan ujian rizab ovari (ORT) untuk memilih dos rangsangan, sama ada untuk kelahiran hidup atau sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS).
Kajian masa depan boleh menilai kesan penggunaan ORT untuk memilih dos rangsangan, berbanding beberapa percubaan rawatan.
Apakah rangsangan individu dalam rawatan IVF?
Persenyawaan in vitro (IVF) ialah sejenis teknologi pembiakan berbantu dimana telur digabungkan dengan sperma di luar tubuh wanita. Semasa kitaran IVF biasa, doktor memberikan hormon wanita yang menggalakkan sekumpulan telur untuk matang. Perkara ini dirujuk sebagai rangsangan ovari.
Dalam merancang kitaran IVF, dos ubat rangsangan ovari adalah berdasarkan ciri-ciri tertentu setiap wanita, seperti umur. Ujian-ujian baharu telah dibangunkan yang mungkin lebih baik untuk meramal tindak balas wanita terhadap rangsangan, dipanggil ujian rizab ovari (ORT). Ujian-ujian ini mengukur bilangan telur yang terdapat dalam ovari. Ianya tidak jelas sama ada menyesuaikan dos ubat rangsangan berdasarkan ORT individu boleh membantu meningkatkan peluang untuk hamil dan mempunyai bayi, atau sama ada ujian membantu meningkatkan keselamatan kitaran IVF, seperti mengurangkan kemungkinan keadaan serius OHSS. .
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin menentukan sama ada rangsangan hormon ovari yang disesuaikan untuk wanita individu berdasarkan ciri-ciri tertentu adalah lebih baik daripada dos standard untuk:
- membantu wanita mempunyai kelahiran hidup;
- mengelakkan OHSS;
- membantu wanita mencapai kehamilan.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan dos rangsangan ovari individu dengan dos standard atau jenis dos individu yang lain. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 26 kajian yang melibatkan 8520 wanita. Kami membahagikan kajian-kajian ini kepada dua perbandingan:
- kajian perbandingan dos langsung merekrut wanita yang diramalkan untuk bertindak balas terhadap rangsangan IVF sama ada buruk, normal, atau berlebihan, berdasarkan ujian rizab ovari mereka. Wanita kemudiannya diberikan kepada dos hormon perangsang ovari yang berbeza secara rawak untuk melihat sama ada dos yang berbeza akan menjejaskan hasil IVF.
- Kajian pemilihan dos berasaskan ORT membahagikan wanita kepada mereka yang dos rangsangannya berdasarkan ORT wanita dan mereka yang menerima dos standard atau satu berdasarkan ciri lain.
Keputusan utama untuk kajian perbandingan dos langsung
Bagi wanita yang diramalkan akan bertindak balas dengan lemah atau biasa terhadap rangsangan berdasarkan ujian rizab ovari mereka, ianya tidak jelas sama ada meningkatan dos ubat rangsangan mempengaruhi peluang untuk hamil, mempunyai bayi, atau peluang bagi OHSS. Walau bagaimanapun, kajian yang terlibat adalah kecil dan membandingkan dos ubat yang berbeza. Bagi wanita yang diramalkan akan bertindak balas dengan teruk, jika peluang untuk bersalin hidup selepas mengambil 150 unit antarabangsa (IU) hormon adalah 16%, peluang dengan 300 atau 450 IU adalah antara 13% hingga 26%. Bagi wanita yang diramalkan mempunyai tindak balas normal, jika peluang kelahiran hidup atau kehamilan berterusan dengan 150 IU ialah 29%, peluang dengan 200/225 IU adalah antara 22% hingga 36%.
Bagi wanita yang diramalkan mempunyai tindak balas yang berlebihan terhadap rangsangan, mengurangkan dos rangsangan mungkin boleh menjejaskan peluang untuk melahirkan bayi atau tidak. Jika peluang kelahiran hidup dengan 100 IU adalah 25%, peluang dengan 150 IU adalah antara 18% hingga 33%. Mengurangkan dos mungkin boleh mengurangkan kadar OHSS. Jika peluang OHSS sederhana atau serius dengan dos yang lebih rendah adalah 1.6%, peluang dengan dos yang lebih tinggi adalah antara 1.3% dan 9.6%, tetapi ini juga tidak jelas.
Keputusan utama untuk kajian pemilihan dos berasaskan ORT
Tiada pengurangan ketara dalam kehamilan berterusan atau kelahiran hidup apabila menggunakan ORT untuk memilih dos, tetapi ianya tidak jelas sama ada ia membawa manfaat. Kaedah yang berbeza menggunakan ORT untuk memilih dos mungkin lebih atau kurang berkesan berbanding dengan yang lain. Jika peluang kehamilan berterusan atau kelahiran hidup dengan dos permulaan standard adalah 25%, peluang dengan dos berdasarkan ORT adalah antara 25% dan 31%. Dos individu menunjukkan pengurangan peluang mendapat OHSS jika dibandingkan dengan memberi semua wanita dos ubat rangsangan yang sama, tetapi kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti ini. Jika peluang OHSS sederhana atau teruk dengan dos permulaan standard ialah 5%, peluang dengan dos berdasarkan ujian rizab ovari adalah antara 2% dan 5%.
Apakah batasan bukti?
Kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah ke rendah, disebabkan batasan dalam reka bentuk kajian (penyelidik dan peserta sering mengetahui rawatan yang diberikan) dan ketidaktepatan statistik kerana kajian-kajian tersebut memasukkan terlalu sedikit wanita untuk memberikan keputusan yang jelas untuk hasil yang paling penting, seperti mempunyai bayi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti ini terkini sehingga Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).