Akses pesakit dewasa ke rekod kesihatan elektronik

Adakah pesakit menguruskan penjagaan kesihatan mereka dengan lebih baik sekiranya mereka dapat mengakses rekod kesihatan elektronik mereka?

Apakah rekod kesihatan elektronik?

Penyedia penjagaan kesihatan menyimpan maklumat berkaitan kesihatan mengenai pesakit dalam rekod kesihatan elektronik, yang disimpan dalam bentuk digital dan diakses oleh komputer. Profesional penjagaan kesihatan menggunakan rekod ini untuk mengakses semua maklumat berkaitan kesihatan untuk rawatan pesakit, bila-bila masa dan di mana sahaja mereka memerlukannya. Maklumat boleh merangkumi sejarah perubatan seseorang, ubat-ubatan, alahan, keputusan ujian, dan sejarah imunisasi.

Sebilangan penyedia penjagaan kesihatan kesihatan membenarkan pesakit melihat rekod kesihatan elektronik mereka sendiri, biasanya dengan memberi mereka akses melalui web. Pesakit juga boleh ditawarkan perkhidmatan berasaskan web lain, seperti peringatan berkaitan kesihatan, pesanan selamat, dan maklumat umum pendidikan kesihatan.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Akses ke rekod kesihatan elektronik mungkin mendorong pesakit untuk berbicara dengan profesional penjagaan kesihatan mengenai kesihatan mereka dan potensi rawatan, dan dapat membantu mereka untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan. Kami ingin mengetahui sama ada akses ke rekod kesihatan elektronik memberi manfaat kepada pesakit atau menyebabkan kesan yang mungkin tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat akses pesakit kepada rekod kesihatan elektronik. Kami juga mencari kajian di mana akses datang dengan perkhidmatan tambahan. Kami berminat untuk mengetahui perubahan dalam:

1. berapa banyak pesakit tahu, dan faham, tentang penjagaan kesihatan mereka;
2. adakah pesakit merasa dalam kawalan tentang penjagaan mereka (pemerkasaan);
3. mengambil ubat, atau mengikuti program pemantauan (pencegahan);
4. kepuasan pesakit terhadap penjagaan mereka;
5. bagaimana pesakit menilai kesejahteraan mereka (kualiti hidup);
6. kesihatan pesakit;
7. tahap kegelisahan, kebimbangan, atau kemurungan pesakit;
8. berapa kerap pesakit menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan (jumlah panggilan telefon atau lawatan);
9. komunikasi antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan mereka; dan
10. adakah pesakit mengalami kesan yang tidak diingini.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti-bukti yang telah diterbitkan dari tahun 2000 sehingga April 2020.

Apa yang kami temui

Kami menemui 10 kajian yang berkaitan, yang diterbitkan antara tahun 2000 dan 2016, yang mendaftarkan 78 hingga 4500 orang dewasa. Kajian-kajian ini dijalankan di Amerika Syarikat (tujuh kajian), Kanada (dua), dan Jepun (satu). Lima kajian dilakukan di pejabat doktor dan lima di klinik hospital. Individu yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian ini telah mendapat rawatan susulan selama tiga bulan hingga dua tahun. Dua kajian telah dibiayai oleh syarikat farmaseutikal.

Kajian-kajian bertumpu kepada pesakit diabetes jenis 2 (lima kajian), asma (satu kajian), glaukoma (satu kajian), kegagalan jantung kongestif (satu kajian), dan darah tinggi (satu kajian); satu kajian bertumpu pada pesakit yang mengunjungi doktor mereka dengan apa-apa sebab.

Kajian-kajian membandingkan penjagaan biasa dan akses ke rekod kesihatan elektronik berbanding rawatan biasa sahaja. Dalam sembilan kajian, akses ke rekod kesihatan elektronik dilengkapi dengan perkhidmatan tambahan.

Kami tidak dapat menggabungkan hasil-hasil kajian kerana perbezaan dalam bagaimana kajian dilakukan, jenis pesakit yang mendaftar, dan bagaimana hasil-hasil diukur, jadi kami harus menilai mereka secara berasingan.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Berbanding dengan penjagaan biasa, kami tidak pasti sama ada akses ke rekod kesihatan elektronik menjejaskan:

1. pengetahuan dan pemahaman pesakit mengenai diabetes dan ujian glukosa darah (bukti dari satu kajian pada 379 pesakit diabetes); atau

2. seberapa kerap pesakit berkomunikasi dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka (satu kajian pada 107 pesakit).

Berbanding dengan penjagaan biasa, akses ke rekod kesihatan elektronik mungkin tidak banyak perbezaan dalam:

1. pesakit merasa berkuasa (tiga kajian; 601 pesakit) atau berpuas hati dengan rawatan mereka (tiga kajian; 903 pesakit); atau

2. berapa ramai pesakit yang meninggal dunia atau melaporkan kesan tidak diingini yang serius (dua kajian; 486 pesakit).

Empat kajian (pada 5466 pesakit) melihat sejauh mana pesakit mengikuti program pemantauan dan terus mengambil ubat mereka. Walaupun akses ke rekod kesihatan elektronik mungkin sedikit menambahbaik mengikuti program pemantauan, kajian yang menilai bagaimana pesakit terus mengambil ubat menunjukkan hasil yang berbeza, jadi kami tidak jelas mengenai kesan pencegahan tersebut.

Mengakses rekod kesihatan elektronik mungkin tidak mempengaruhi seberapa kerap pesakit menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan (tiga kajian).

Tidak ada kajian yang melaporkan mengenai kesan yang tidak diingini atau jika akses ke rekod kesihatan mungkin mempengaruhi kegelisahan, kebimbangan, atau kemurungan pesakit.

Seberapa yakinkah kami terhadap keputusan kami?

Kami tidak yakin dengan keputusan kami kerana sedikit kajian yang dijumpai. Pencarian kami mungkin telah terlepas beberapa kajian yang relevan kerana perbezaan istilah yang digunakan untuk rekod kesihatan elektronik. Tambahan pula, kami mengenal pasti batasan cara kebanyakan kajian direkabentuk atau dijalankan. Penyelidikan lebih lanjut mungkin mengubah keputusan kami.

Mesej utama

Akses ke rekod kesihatan elektronik (dan perkhidmatan tambahan) mungkin memberi sedikit atau tiada manfaat bagi perasaan pesakit tentang pemerkasaan atau kepuasan, atau faktor risiko diabetes, penyakit kardiovaskular, dan tekanan tinggi di dalam mata (faktor risiko untuk glaukoma). Akses sedemikian mungkin meningkatkan sedikit bilangan pesakit yang mengikuti pemantauan terhadap faktor risiko.

Kajian masa depan harus menggunakan teknologi terkini seperti peranti mudah alih untuk mengetahui:

1. kesan akses ke rekod kesihatan elektronik;

2. akses untuk kumpulan pesakit mana yang paling sesuai; dan

3. perkhidmatan tambahan mana yang harus disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Amirah binti Mohd Shukor. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information