Penyekat-beta dan perencat sistem renin-angiotensin aldosteron untuk kegagalan jantung kronik dengan pecahan ejeksi terpelihara

Soalan ulasan

Kami menyiasat kesan-kesan penyekat-beta (BB), antagonis reseptor mineralokortikoid (MRA), perencat enzim penukaran angiotensin (ACEI), penyekat reseptor angiotensin (ARB) dan perencat neprilysin reseptor angiotensin (ARNI) terhadap kelangsungan hidup, kemasukan ke hospital untuk kegagalan jantung, kualiti hidup dan tahap kalium dalam orang dengan kegagalan jantung dengan pecahan ejeksi terpelihara (HFpEF).

Latar belakang

Kegagalan jantung adalah keadaan biasa yang berlaku apabila fungsi otot jantung merosot, dikaitkan dengan simptom-simptom sesak nafas dan keletihan, dan pengurangan kelangsungan hidup. Dalam sekitar separuh kes kegagalan jantung, yang mana pecahan ejeksi ventrikel kiri berkurang ke kurang daripada 40% (menunjukkan kemerosotan fungsi kontraktil yang ketara), beberapa rawatan ubat diketahui berkesan meningkatkan kelangsungan hidup dan mengurangkan kemasukan ke hospital. Dalam kes yang selebihnya, yang mana pecahan ejeksi adalah normal atau hanya berkurang dengan sedikit (HFpEF), adalah tidak jelas sama ada rawatan ubat yang sama berkesan memperbaik hasil-hasil.

Kriteria pemilihan

Kami ingin menyiasat sama ada rawatan-rawatan untuk kegagalan jantung dengan pecahan ejeksi yang berkurang juga berkesan dalam HFpEF. Kami menjalankan carian yang menyeluruh untuk semua kajian yang menyelidik BB, MRA, ACEI, ARB atau ARNI (bukti terkini hingga 14 Mei 2020).

Keputusan dan kesimpulan

Kami menyertakan 10 kajian dengan 3087 peserta yang dirawakkan untuk BB, 13 kajian dengan 4459 peserta dirawakkan untuk MRA, lapan kajian dengan 2061 peserta dirawakkan untuk ACEI, lapan kajian dengan 8755 peserta dirawakkan untuk ARB dan tiga kajian dengan 7702 peserta dirawakkan untuk ARNI. Kami menggabungkan bukti ke dalam analisis terkumpul bagi setiap kelas ubat dan bagi setiap hasil yang dinilai. Tidak semua kajian yang disertakan adalah sebahagian daripada setiap analisis.

Kami mendapati bahawa BB dapat memperbaik kematian kardiovaskular. Walau bagaimanapun, kepastian bukti adalah rendah kerana kajian yang kecil dan ketidakpastian mengenai kaedah-kaedah yang digunakan. Untuk MRA, keputusan mencadangkan pengurangan kemasukan ke hospital kerana kegagalan jantung tetapi sedikit atau tiada kesan terhadap kematian kardiovaskular dan semua sebab; namun, kepastian bukti adalah hanya sederhana. Bagi ACEI, rawatan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap hasil-hasil kematian kardiovaskular, kematian semua sebab dan kemasukan ke hospital kerana kegagalan jantung; namun, kepastian bukti adalah hanya sederhana. Kami menemui kepastian bukti tinggi untuk rawatan ARB, dengan keputusan menunjukkan sedikit atau tiada kesan. Kami mendapati bahawa rawatan ARNI mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kematian kardiovaskular (bukti kepastian sederhana), kematian semua sebab (bukti kepastian tinggi), atau kualiti hidup (bukti kepastian tinggi). Rawatan ARB dapat mengurangkan sedikit kemasukan ke hospital kerana kegagalan jantung (bukti kepastian sederhana). Rawatan dengan MRA dan ARB didapati meningkatkan risiko kalium yang tinggi dalam darah.

Kesimpulannya, rawatan dengan MRA, dan mungkin ARNI, didapati menyebabkan sedikit pengurangan dalam risiko kemasukan ke hospital kerana kegagalan jantung. Terdapat beberapa bukti dengan kemungkinan kesan yang bermanfaat bagi BB terhadap kematian disebabkan oleh penyakit kardiovaskular. Rawatan dengan ACEI mungkin tidak ada kesan yang bermanfaat terhadap orang dengan HFpEF, namun, ini kekal tidak dapat dipastikan kerana kekurangan bukti dari kajian-kajian klinikal. Untuk ARB, bukti menunjukkan bahawa rawatan mempunyai sedikit atau tiada manfaat dalam orang dengan HFpEF.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah antara tinggi ke rendah merentasi hasil-hasil dan kelas-kelas ubat yang dikaji. Kecuali ARB dan ARNI, terdapat kekurangan kajian-kajian berskala besar bagi HFpEF untuk intervensi-intervensi dan hasil-hasil yang diuji.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@ecsiucd.edu.my

Tools
Information