Methotrexate untuk artritis psoriatik

Latar belakang

Artritis psoriatik adalah keradangan yang menyebabkan sendi yang sakit, bengkak, dan kejang, dengan tendon yang sakit dan jari tangan dan kaki yang bengkak. Ia dikaitkan dengan psoriasis - penyakit kulit atau kuku. Jika teruk, pakar reumatologi mempreskrib methotrexate, ubat anti-reumatik yang mengubah suai penyakit (DMARD), untuk memperbaiki gejala dan mencegah keadaan bertambah buruk. DMARD lain mungkin termasuk leflunomide, ciclosporin A, sulfasalazine, dan emas (walaupun rawatan emas jarang digunakan).

Soalan ulasan

Kami berhasrat untuk menilai manfaat dan mudarat methotrexate berbanding plasebo (ubat palsu) atau ubat yang serupa untuk orang dewasa dengan artritis psoriatik. Methotrexate berbanding plasebo adalah perbandingan utama. Hasil utama adalah respons penyakit (bilangan pesakit yang respons positif kepada rawatan), fungsi, kualiti hidup berkaitan kesihatan, aktiviti penyakit, progresi radiografi (kerosakan tulang dari masa ke masa seperti yang terlihat dalam sinar-X), kesan buruk yang serius (kesan sampingan yang memerlukan kemasukan hospital, memerlukan terapi intensif, menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian), dan pemberhentian akibat peristiwa buruk (kesan sampingan yang menyebabkan pemberhentian rawatan)

Tarikh carian

Kami mencari bukti sehingga 29 Januari 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian yang diterbitkan di antara 1964 dan 2014. Semua kajian melibatkan orang dari klinik reumatologi. Kajian-kajian dijalankan di Itali, United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Rusia, dan Bangladesh. Lima kajian membandingkan methotrexate dengan plasebo (345 orang), dan empat kajian membandingkan methotrexate dengan DMARD lain (leflunomide (61 orang), ciclosporin A (35 orang), emas (30 orang), dan sulfasalazine (24 orang)). Purata umur orang yang dimasukkan dalam kajian-kajian ini berbeza-beza dari 26 hingga 52 tahun. Purata tempoh artritis psoriatik adalah antara satu hingga sembilan tahun. Dos methotrexate terdiri daripada 7.5 mg hingga 25 mg secara oral, tetapi untuk kebanyakan kajian, 15 mg diberikan secara oral setiap minggu. Di kebanyakan negara barat, dos oral 15 mg hingga 20 mg setiap minggu biasa diguna dalam amalan rutin.

Keputusan-keputusan utama

Selepas rawatan selama enam bulan, perbandingan dengan plasebo (ubat palsu) menunjukkan methotrexate menghasilkan yang berikut (perhatikan bahawa satu kajian mengukur tetapi tidak melaporkan kualiti hidup, dan tiada kajian mengukur progresi radiografi).

Peratusan yang respons terhadap rawatan seperti yang diukur oleh Kriteria Respons Psoriatik

16% lebih ramai orang, atau 16 orang lebih daripada 100, bertambah baik dengan rawatan (4% lebih hingga 28% lebih)

37 daripada 100 orang yang mengambil methotrexate bertambah baik

21 dari 100 orang mengambil plasebo bertambah baik

Fungsi (skor lebih rendah bermaksud fungsi lebih baik)

Fungsi bertambah baik sebanyak 10% (dari 3% lebih baik ke 17% lebih baik), atau dengan 0.30 mata (dari 0.09 lebih baik hingga 0.51 lebih baik) pada skala 0 hingga 3 (skala ini dijangka bermakna kepada pesakit)

Orang yang mengambil methotrexate menilai fungsi mereka sebagai 0.7 mata

Orang yang mengambil plasebo menilai fungsi mereka sebagai 1.0 mata

Aktiviti penyakit (skor lebih rendah bermaksud penyakit kurang aktif)

Aktiviti penyakit bertambah baik sebanyak 3% (7% lebih baik hingga 1% lebih teruk), atau 0.26 mata (0.65 lebih baik hingga 0.13 lebih teruk) pada skala 0 hingga 10

Orang yang mengambil methotrexate mempunyai skor aktiviti penyakit sebanyak 3.8 mata

Orang yang mengambil plasebo mempunyai skor aktiviti penyakit sebanyak 4.06 mata

Peristiwa buruk yang serius (lebih banyak peristiwa bermaksud lebih mudarat)

2% kurang individu, atau dua orang kurang daripada 100 (5% kurang hingga 1% lebih), melaporkan peristiwa buruk yang serius dengan methotrexate

Satu daripada 100 orang yang mengambil methotrexate mempunyai peristiwa buruk yang serius

Tiga daripada 100 orang yang mengambil plasebo mempunyai peristiwa buruk yang serius

Pemberhentian akibat peristiwa buruk (lebih banyak peristiwa bermaksud lebih banyak mudarat)

1% lebih ramai orang, atau satu lagi dari 100 (4% kurang hingga 6% lebih), berhenti daripada rawatan dengan methotrexate

Enam dari 100 orang yang mengambil methotrexate berhenti rawatan

Lima daripada 100 orang mengambil plasebo berhenti rawatan

Kualiti bukti

Bukti berkualiti rendah mencadangkan methotrexate mungkin memberi manfaat yang sedikit lebih besar berbanding plasebo untuk beberapa hasil (seperti memperbaiki fungsi) tetapi mungkin tidak lebih baik daripada plasebo untuk hasil lain (seperti mengurangkan aktiviti penyakit). Kami menilai kualiti bukti sebagai rendah kerana kepincangan reka bentuk kajian dan ketidaktepatan (sesetengah keputusan adalah bermakna kepada pesakit dan sesetengah yang tidak). Kami tidak pasti sama ada methotrexate menyebabkan lebih banyak mudarat berbanding plasebo kerana bilangan kejadian yang dilaporkan adalah kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information