Rawatan untuk telangiektasias dan vena retikular

Apa itu telangiektasias dan vena retikular?

Telangiektasias (urat labah-labah) adalah saluran darah kecil yang melebar berhampiran permukaan kulit berukuran diameter kurang dari 1.0 mm. Vena retikular mempunyai diameter kurang dari 3.0 mm dan lebih dalam di dalam kulit. Penyebabnya tidak diketahui, dan boleh menjadi kosmetik semata-mata, atau boleh mengakibatkan rasa sakit, terbakar atau gatal. Telangiektasias dan vena retikular pada kaki sangat biasa, meningkat seiring dengan usia, dan telah dijumpai sebanyak 41% pada wanita yang berusia lebih dari 50 tahun. Faktor risiko merangkumi sejarah keluarga, kehamilan, trauma tempatan, obesiti dan faktor hormon

Bagaimana telangiektasias dan vena retikular dirawat?

Terdapat beberapa rawatan, seperti skleroterapi, laser, cahaya berdenyut intensif, mikroflebektomi dan termoablasi, tetapi tidak ada yang lebih baik. Kesan sampingan rawatan yang tidak diingini termasuk hiperpigmentasi (kegelapan kulit), matting (telangiektasias baru selepas rawatan), alergi dan kesakitan. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui kesan rawatan ini untuk membantu doktor dan pesakit membuat keputusan yang mana pilihan terbaik untuk mereka.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian di mana pesakit dipilih secara rawak untuk menerima satu rawatan urat labah-labah berbanding dengan rawatan palsu, atau jenis rawatan lain. Kami kemudiannya membandingkan hasil-hasil yang dilaporkan dan merumuskan bukti kajian dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai sejauh mana kepastian bukti tersebut. Kami pertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian. Berdasarkan penilaian, kami membahagikan bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 35 kajian dengan gabungan 3632 peserta (dicari sehingga 16 Mac 2021). Beberapa kajian membandingkan satu rawatan pada satu kaki dengan rawatan yang lain pada kaki yang lain. Kajian menggunakan pelbagai rawatan yang berbeza dan tidak ada yang melaporkan semua hasil kami. Tidak semua rawatan tersedia disiasat: tidak ada kajian yang mengkaji cahaya berdenyut intensif, termokoagulasi atau mikroflebektomi.

Ejen sklerosis meningkatkan resolusi telangiektasias dan vena retikular jika dibandingkan dengan rawatan palsu, tetapi mengakibatkan lebih kesan sampingan yang tidak diingini (hiperpigmentasi dan matting). Tidak ada faedah yang dapat dilihat pada satu agen sklerosis berbanding yang lain, atau dibandingkan dengan laser, untuk meningkatkan telangiektasias. Berkemungkinan terdapat perbezaan antara rawatan dalam kejadian buruk dan kesakitan. Perbandingan dengan agen lain, polidokanol mungkin menyebabkan kurang sakit. Natrium tetradesil sulfate (STS) boleh menyebabkan hiperpigmentasi, matting dan mungkin lebih banyak kesakitan; buih boleh mengakibatkan lebih banyak matting; rawatan laser boleh menyebabkan kurang hiperpigmentasi. Gabungan laser dengan tambahan skleroterapi boleh menghasilkan resolusi yang lebih baik berbanding dengan skleroterapi sahaja, tetapi boleh menyebabkan lebih banyak kesakitan.

Sejauh manakah keputusan ini boleh dipercayai?

Kami tidak begitu yakin dengan keputusan ini. Kami menurunkan kepastian bukti dengan satu atau dua tahap (dari tinggi hingga sederhana atau rendah). Ini adalah kerana perbezaan dalam reka bentuk kajian, yang bermakna hanya sebilangan kecil kajian dan peserta memberikan maklumat untuk setiap perbandingan rawatan.

Kesimpulan

Kajian lanjut yang direka dengan baik diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap perbandingan yang dikenal pasti dalam ulasan ini, untuk rawatan lain yang tersedia, dan untuk hasil penting lain, seperti berulang, masa untuk menyelesaikan dan kesan sampingan jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information