Injap ventrikulo-peritoneal untuk hidrosefalus

Soalan ulasan

Apakah kesan (faedah dan kemudaratan) pelbagai jenis alat pintasan untuk orang yang dirawat dengan hidrosefalus?

Latar belakang

Hidrosefalus, yang dikenali sebagai 'air di otak' adalah gangguan yang disebabkan oleh pengumpulan cecair serebrospinal di rongga (ventrikel) jauh di dalam otak. Ini menyebabkan peningkatan ukuran ventrikel dan tekanan pada otak yang membawa kepada kerosakan otak. Injap ventrikulo-peritoneal adalah alat yang mengalirkan cecair tambahan dari otak ke rongga peritoneal, di perut, di mana cecair dapat diserap (pintasan ventrikulo-peritoneal). Terdapat pelbagai jenis injap dan kesan yang berbeza tidak diketahui.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik mencari bukti sehingga Februari 2020. Kami merangkumi enam kajian dengan 962 peserta menilai: injap anti-siphon, pelbagai jenis injap standard, injap pengatur aliran cecair serebrospinal yang boleh disesuaikan sendiri dan injap yang dapat diprogramkan. Sebilangan besar kajian merangkumi kanak-kanak dengan hidrosefalus dengan tindak lanjut antara dua hingga enam tahun. Empat kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan mereka. Satu kajian dibiayai oleh pengeluar peranti tersebut dan satu lagi kajian dibiayai oleh yayasan.

Keputusan utama

Kami tidak pasti mengenai perbezaan kegagalan rawatan antara injap standard dan injap anti-sifon, namun, kejadian buruk, kematian, ukuran ventrikel dan lilitan kepala mungkin serupa. Tidak ada kajian yang disertakan yang melaporkan kualiti hidup peserta.

Kami tidak pasti mengenai perbezaan kegagalan rawatan dan kematian pada peserta dengan pelbagai jenis injap standard. Kajian yang disertakan tidak melaporkan kesan intervensi ini terhadap kualiti hidup, ukuran ventrikel dan lilitan kepala.

Kejadian kegagalan rawatan dan kejadian buruk mungkin serupa dengan injap standard dan injap pengatur aliran cecair serebrospinal yang dapat disesuaikan sendiri. Kajian yang disertakan melaporkan tidak ada kematian di mana-mana kumpulan pada awal operasi; kami tidak pasti akan kesan di luar jangka masa ini. Kajian yang disertakan tidak melaporkan kesan intervensi ini terhadap kualiti hidup, pengurangan ukuran ventrikel atau lilitan kepala.

Kejadian kegagalan rawatan mungkin serupa dengan injap yang dapat diprogramkan dan injap yang tidak dapat diprogramkan, dan kejadian buruk dan ukuran ventrikel mungkin juga serupa. Kajian yang disertakan tidak melaporkan pengaruh intervensi ini terhadap kematian, kualiti hidup atau lilitan kepala.

Kualiti bukti

Kepastian bukti kebanyakannya rendah hingga sangat rendah kerana kajiannya dilakukan dengan buruk, dengan sebilangan kecil peserta. Tambahan pula, banyak kajian tidak melaporkan hasil kritikal seperti kematian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information