Antibiotik untuk rawatan penyakit Crohn

Apakah penyakit Crohn?

Penyakit Crohn (CD) adalah gangguan keradangan yang boleh mempengaruhi sebarang segmen saluran gastrousus dari mulut ke dubur. Gejala umum CD termasuk demam, cirit-birit, sakit perut dan susut berat badan. CD dicirikan oleh episod relaps apabila orang mengalami gejala dan episod remisi apabila gejala berhenti.

Apakah antibiotik?

Antibiotik adalah ubat yang diguna untuk merawat jangkitan bakteria. Antibiotik direka untuk mensasarkan populasi bakteria tertentu dan mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza untuk menghentikan populasi bakteria daripada membiak atau membasmi bakteria.

Apakah tujuan kajian ini?

Antibiotik lazim diguna untuk menguruskan pesakit dengan CD kerana proses keradangan di usus dipercayai dicetuskan oleh patogen bakteria tertentu. Penghapusan sasaran bakteria ini akan membolehkan proses keradangan sembuh. Walau bagaimanapun, garis panduan klinikal semasa tidak mengesyorkan penggunaan agen antibiotik untuk mendorong atau mengekalkan remisi klinikal dalam kalangan pesakit dengan CD kerana tiada bukti muktamad untuk menyarankan manfaat menggunakan antibiotik dengan cara ini.

Bagaimana kajian ini dijalankan?

Ulasan sistematik kesusasteraan terkini dilakukan untuk menentukan sama ada terapi antibiotik berkesan untuk induksi atau penyenggaraan remisi dalam CD. Carian elektronik beberapa pangkalan data dilakukan dan kajian yang memenuhi kriteria kemasukan kami dipilih untuk penilaian lanjut. Analisis statistik telah dijalankan untuk menentukan antibiotik tertentu yang mempunyai manfaat keseluruhan.

Apakah keputusannya?

Beberapa antibiotik, termasuk ciprofloxacin, metronidazole, clarithromycin, rifaximin dan cotrimoxazole, telah dikaji dalam CD. Kebanyakan kajian yang dimasukkan adalah kecil. Apabila kami menggabungkan antibiotik sebagai satu kelas, ubat-ubatan ini memberikan manfaat yang sederhana ke atas plasebo (iaitu ubat palsu seperti pil gula) untuk induksi remisi dan penambahbaikan gejala CD. Sebagai contoh, kadar remisi adalah 45% (253/542) dalam kalangan peserta yang menerima antibiotik berbanding 36% (82/231) dalam kalangan peserta yang menerima plasebo. Kami menilai kualiti bukti yang menyokong hasil ini sebagai tinggi. Beberapa kajian menilai penggunaan antibiotik untuk penyenggaraan remisi dalam CD. IMpak antibiotik untuk mencegah relaps dalam CD adalah tidak pasti. Antibiotik tidak meningkatkan risiko kesan sampingan berbanding plasebo. Kesan sampingan lazim yang dilaporkan dalam kajian-kajian termasuklah gangguan gastrousus, jangkitan saluran pernafasan atas, pembentukan abses, sakit kepala, perubahan rasa dan parestesia (pin dan jarum di tangan dan kaki). Kesan sampingan yang serius tidak dilaporkan dengan baik dalam kajian-kajian dan impak antibiotik terhadap risiko kesan sampingan yang serius adalah tidak pasti.

Kesimpulan

Bukti berkualiti sederhana hingga tinggi menunjukkan sebarang faedah antibiotik dalam CD aktif mungkin sangat sederhana. Bukti berkualiti tinggi menunjukkan tiada peningkatan risiko kesan sampingan dengan antibiotik berbanding plasebo. Kesan antibiotik terhadap risiko kesan sampingan yang serius adalah tidak pasti. Kesan antibiotik untuk mencegah relaps dalam CD adalah tidak pasti. Oleh itu, tiada kesimpulan kukuh mengenai manfaat dan mudarat antibiotik untuk penyenggaraan remisi dalam CD yang boleh dibuat. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan mudarat dan manfaat terapi antibiotik dalam CD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information