Manfaat dan mudarat sugammadex berbanding neostigmine dalam membalikkan lumpuh teraruh

Latar belakang

Pelbagai tahap lumpuh teraruh adalah kadangkala perlu apabila pesakit ditidurkan atau disediakan untuk pembedahan. Apabila pembedahan selesai, kelumpuhan seharusnya dibalikkan dengan cara yang cepat, boleh dipercayai dan selamat. Neostigmine adalah ubat yang diguna secara tradisional untuk membalikkan lumpuh teraruh. Namun, penggunaannya boleh dikaitkan dengan pembalikan yang tidak lengkap atau perlahan serta perubahan dalam fungsi paru-paru, fungsi jantung, dan muntah dan loya. Sugammadex adalah ubat baru yang direka khusus untuk membalikkan lumpuh cetusan rocuronium dengan lebih pantas, lebih dipercayai dan lebih selamat berbanding neostigmine.

Objektif

Ulasan sistematik ini bertujuan membandingkan manfaat dan mudarat sugammadex dan neostigmine. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenalpasti 41 kajian rawak terkawal yang membandingkan sugammadex dengan neostigmine yang menyediakan data yang sesuai tentang keberkesanan dan keselamatan. Semua kajian ini melibatkan orang dewasa yang menjalani pembedahan dan melibatkan seramai 4206 peserta.

Keputusan utama

Data menunjukkan sugammadex adalah 10.22 minit (6.6 kali) lebih cepat daripada neostigmine (1.96 vs 12.87 minit) dalam membalikkan lumpuh teraruh yang sederhana. Sugammadex adalah 45.78 minit (16.8 kali) lebih cepat daripada neostigmine (2.9 vs 48.8 minit) dalam membalikkan lumpuh teraruh yang mendalam. Peserta yang menerima sugammadex kelihatan mempunyai 40% kurang risiko mengalami peristiwa berbahaya daripada mereka yang diberi neostigmine. Secara statistik, lapan orang boleh dirawat dengan sugammadex berbanding dengan neostigmine untuk mengelakkan satu orang mengalami satu peristiwa berbahaya secara rawak. Kejadian peristiwa berbahaya yang serius hampir tidak wujud dan data menunjukkan tiada perbezaan di antara kumpulan-kumpulan perbandingan.

Kesimpulan

Sugammadex adalah lebih cekap dan lebih selamat daripada neostigmine untuk membalikkan lumpuh teraruh sederhana dan mendalam.

Kualiti bukti

Kami mempertimbangkan penemuan keseluruhan manfaat dan mudarat untuk bukti berkualiti sederhana memihak kepada sugammadex.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information