Orang terlatih dalam masyarakat (Community first responders, CFR) bagi memberi bantuan kecemasan untuk masalah jantung berhenti di luar hospital pada orang dewasa dan kanak-kanak

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan menghantar CFR ke tempat terjadinya jantung terhenti di luar hospital dikalangan orang dewasa dan kanak-kanak berumur lebih daripada empat minggu, dari segi kelansungan hidup dan fungsi neurologi.

Latarbelakang

Jantung terhenti di luar hospital merupakan punca utama kematian. Ia terjadi apabila jantung seseorang tiba-tiba berhenti mengepam darah ke seluruh badan, dan ia sering disebabkan oleh rentak jantung yang tidak normal. Seseorang yang mengalami jantung terhenti akan mati dalam masa beberapa minit melainkan rentak dapat diselaraskan semula.

Peranti yang selamat, mudah alih, dan mampu milik dikenali sebagai' defibrillator' boleh digunkana untuk menamatkan ('defibrillate') rentak yang tidak normal yang menyebabkan jantung terhenti, membolehkan jantung berdegup semula. Defibrilator boleh digunakan oleh hampir semua orang, walaupun tanpa latihan khusus. Untuk menjadikannya berkesan, defibrilator mesti digunakan beberapa minit selepas jantung terhenti.

Resusitasi kardiopulmonari (CPR) adalah satu teknik di mana seorang pemerhati boleh menekan dan melepaskan dada pesakit yang mengalami jantung terhenti, kaedah ini boleh membantu mengepam darah secara buatan ke seluruh badan. CPR boleh menyelamatkan nyawa mangsa jantung terhenti sehingga ketibaan defibrilator, tetapi ia berkesan hanya jika dimulakan sebaik sahaja jantung terhenti.

CPR dan defibrilasi adalah intervensi paling penting berikutan kejadian jantung terhenti. Malah sistem perubatan kecemasan yang termaju di dunia menghadapi kerumitan untuk sampaikan bantuan kepada mangsa jantung terhenti secepat mungkin bagi membolehkan nyawa diselamatkan dengan pemberian CPR dan defibrilasi.

Untuk memendekkan masa dari serangan jantung ke CPR dan defibrilasi, sistem penjagaan kesihatan telah mula menggerakkan CFR atau penindak balas pertama masyarakat bagi memberikan rawatan-rawatan ini. Penindak balas pertama masyarakat merupakan penduduk yang berada dalam masyarakat dan telah menerima latihan asas minima dalam CPR/ penggunaan defibrilator. Mereka secara amnya dimaklumkan mengenai kejadian serangan jantung oleh perkhidmatan perubatan kecemasan.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini mencari kajian penyelidikan berkualiti tinggi yang mengkaji sama ada menggunakan penindak balas pertama masyarakat boleh meningkatkan kelangsungan hidup atau hasil neurologi, atau kedua-duanya, berikutan serangan jantung di luar hospital dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Kami telah mencari terakhir pengkalan data yang ada dalam bulan Januari 2019.

Keputusan utama

Kami menemui dua kajian penyelidikan yang layak dengan penglibatan sejumlah 1136 peserta.

Satu kajian dijalankan di Stockholm, Sweden, dan dibiayai oleh Yayasan Jantung-Paru-paru Sweden, Yayasan Laerdal, dan Wilayah Stockholm, yang mendapati mengerakkan penindak balas pertama masyarakat meningkatkan kadar CPR yang dilakukan sebelum ketibaan perkhidmatan perubatan kecemasan (data ke atas 665 peserta). Kajian lain telah dijalankan di Amsterdam dan kawasan sekitarnya (Netherlands) dan dibiayai oleh Yayasan Jantung Netherlands dan Kawalan-Fisio Medtronic. Penulis kajian melaporkan dengan menggerakkan penindak balas pertama masyarakat, lebih ramai pesakit menerima defibrilasi sebelum ketibaan perkhidmatan perubatan kecemasan dan terselamat untuk kemasukkan ke hospital (data ke atas 469 peserta).

Kedua-dua kajian tidak menemui penghantaran penindak balas pertama masyarakat meningkatkan jumlah mereka yang terselamat dengan ketara (data ke atas 612 peserta dalam satu kajian dan ke atas 469 peserta di dalam yang lain). Kedua-dua kajian tidak membuat laporan ke atas fungsi neurologi mereka yang terselamat atau ke atas kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Penyelidikan lanjut diperlukan untuk membuktikan sama ada menggerakkan penindak balas pertama masyarakat boleh menyebabkan lebih banyak orang yang terselamat dari jantung terhenti. Penyelidikan di masa depan harus mempertimbangkan keduanya, kelangsungan hidup dan fungsi neurologi mereka yang terselamat.

Kepastian bukti

Kepastian bukti yang sedia ada dari segi kelangsungan hidup pesakit secara keseluruhan dianggap rendah. Kepastian bukti yang ada dari segi pelakuan CPR dan defibrilasi sebelum sampainya perkhidmatan perubatan kecemasan dan dari segi kelangsungan hidup hingga kemasukan ke hospital dianggap sederhana. Bukti ini adalah terkini sehingga Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information