Adakah mengehadkan jumlah cecair yang diberikan kepada orang dewasa semasa pembedahan dan menggunakan pemantauan haemodinamik, yang sentiasa mengukur perubahan tekanan darah atau kelajuan aliran darah di dalam arteri, untuk membimbing pemberian cecair?

Soalan ulasan

Objektif kami adalah untuk mengulas bukti daripada kajian terkawal secara rawak (RCTs) sama ada mengehadkan jumlah cecair yang diberikan kepada orang dewasa semasa pembedahan adalah sama dengan menggunakan pemantauan haemodinamik untuk membimbing pemberian cecair. RCT adalah kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Pemantauan haemodinamik adalah berterusan, pengukuran "beat-to-beat" perubahan tekanan darah atau kelajuan aliran darah di dalam arteri.

Latar belakang

Semasa pembedahan, orang dewasa menerima cecair tambahan ke dalam urat mereka (intravena) untuk menampung keperluan biasa mereka untuk cecair dan untuk menambah sebarang cecair yang hilang semasa pembedahan kerana pendarahan, atau atas sebab-sebab lain, misalnya, peningkatan peluh. Ia masih tidak difahami dengan jelas berapa banyak cecair yang harus diberikan kepada orang dewasa semasa pembedahan. Pada masa lalu, banyak cecair diberikan semasa pembedahan kerana ia dianggap bahawa sejumlah besar cecair mengewap semasa pembedahan dari rongga terbuka, paru-paru, dan kulit, dan banyak cecair terkumpul dalam tisu yang dikendalikan, dan kerana orang memerlukan masa puasa yang panjang sebelum pembedahan. Banyak kajian baru telah mempertikaikan penemuan ini, dan baru-baru ini, teknik-teknik yang menggunakan pemantauan haemodinamik telah dibangunkan untuk membimbing doktor tentang berapa banyak cecair sebenarnya diperlukan semasa pembedahan. Teknik ini dipanggil terapi cecair yang dipandukan oleh matlamat (GDFT). Konsep lain ialah memberi sedikit cecair daripada yang disyorkan pada masa lalu boleh memberikan manfaat yang sama. Teknik ini dipanggil terapi cecair secara terhad (RFT). RFT lebih murah dan lebih mudah digunakan kerana ia tidak memerlukan peralatan tambahan.

Ciri-ciri kajian

Bukti-bukti adalah terkini sehingga 11 Oktober 2019. Kami termasuk kajian yang orang dewasa secara rawak diberikan kepada kumpulan intervensi yang membandingkan kedua-dua teknik yang diterangkan di atas. Kami mendapati enam kajian termasuk sejumlah 562 peserta. Lima kajian melibatkan pembedahan abdomen, dan satu pembedahan ortopedik. Tiada kajian yang melibatkan pembedahan kecemasan atau pesakit yang mengalami keadaan perubatan yang serius sebelum pembedahan.

Hasil-hasil utama

Jumlah kematian adalah sedikit lebih rendah dalam kumpulan GDFT berbanding dengan kumpulan RFT, tetapi ini mungkin disebabkan oleh peluang. Tiada perbezaan kekerapan komplikasi utama yang diperhatikan di antara kedua-dua kumpulan. Di samping itu, tiada perbezaan yang diperhatikan di antara kumpulan RFT dan GDFT dalam hasil yang berikut: tempoh tinggal di hospital, komplikasi yang berkaitan dengan pembedahan (berkaitan dengan tempat pembedahan secara langsung, misalnya masalah penyembuhan luka), komplikasi berkaitan dengan pembedahan (berkaitan dengan masalah dengan organ lain, contohnya jantung atau paru-paru), kegagalan buah pinggang, dan kualiti pemulihan bedah.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti yang diperolehi untuk ulasan ini sebagai sangat rendah kerana kesimpulan berdasarkan bilangan peserta yang sangat kecil dalam kajian yang disertakan, kualiti kajian yang termasuk adalah rendah, dan kajian dilakukan hanya pada kumpulan pesakit terpilih yang tidak mencerminkan populasi sebenar yang menjalani pembedahan. Ini bermakna kajian baru mungkin akan mengubah keputusan ulasan ini. Ulasan tidak menjawab persoalan sama ada keputusan akan sama bagi orang dewasa yang mempunyai masalah kesihatan lain yang serius sebelum pembedahan, atau untuk orang dewasa menjalani pembedahan jenis lain selain pembedahan abdomen dan pembedahan ortopedik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information