Mesej utama
• Kolitis ulseratif (UC) dan penyakit Crohn (CD) adalah dua bentuk penyakit radang usus (IBD). IBD adalah penyakit autoimun yang mempengaruhi usus, kerana sistem imun badan secara keliru menyerang sel, tisu, dan organ yang sihat.
• Pemindahan najis boleh meningkatkan kadar orang dengan UC aktif yang mencapai kawalan penyakit, yang ditakrifkan sebagai remisi klinikal (kawalan penyakit yang ditakrifkan berdasarkan gejala klinikal) dan remisi endoskopik (kawalan penyakit ditakrifkan berdasarkan penemuan endoskopi), dan boleh tidak mempunyai kesan sedikit atau tiada kesan terhadap kadar sebarang kejadian buruk (kejadian yang tidak diingini yang menyebabkan kemudaratan kepada orang).
• Bukti itu sangat tidak pasti mengenai risiko kejadian buruk yang serius dan peningkatan kualiti hidup apabila pemindahan najis digunakan untuk mengawal UC aktif.
• Bukti juga sangat tidak pasti mengenai penggunaan pemindahan najis untuk induksi remisi pada orang dengan CD aktif dan penyelenggaraan remisi pada orang dengan UC atau CD.
• Pemindahan najis adalah terapi yang kian berkembang dan kajian lanjut diperlukan untuk menilai faedah dan risikonya pada orang dewasa dan kanak-kanak dengan UC atau CD aktif, serta penggunaannya yang berpotensi untuk kawalan jangka panjang UC dan CD.
Apakah itu penyakit radang usus?
UC dan CD adalah dua bentuk IBD yang boleh menyebabkan penurunan berat badan, sakit perut, dan kehilangan darah akibat keradangan (sakit dan bengkak) di saluran gastrousus (GI), yang menjejaskan kira-kira 6.8 juta orang di seluruh dunia. Sebab sebenar orang mengalami IBD masih perlu ditentukan, tetapi dianggap melibatkan interaksi kompleks antara sistem imun, lapisan saluran GI, persekitaran, dan mikrobioma usus, yang membawa kepada tindak balas keradangan yang tidak normal pada individu yang rentan secara genetik. Bukti menunjukkan bahawa komposisi mikrobiota usus yang tidak sihat dikaitkan dengan perkembangan IBD, dan pembetulannya dapat membantu mengawal keradangan yang dilihat dalam IBD. Pemberian najis dari penderma yang sihat kepada pesakit, yang disebut pemindahan mikrobiota najisl (FMT), boleh memulihkan keseimbangan mikrobiota usus yang sihat dan mengawal keradangan yang berkaitan dengan IBD baik dalam penyakit aktif (disebut induksi remisi) dan pada skala jangka panjang (disebut pemeliharaan remisi).
Apa yang kita mahu menilai?
Kami ingin menilai faedah dan risiko FMT untuk rawatan IBD (UC dan CD).
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari pelbagai pangkalan data untuk kajian terkawal rawak (RCT), reka bentuk kajian yang dianggap unggul untuk penilaian intervensi klinikal, yang membandingkan FMT dengan terapi kawalan untuk IBD. Kami menggabungkan data dari pelbagai kajian apabila mungkin dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian, kesedaran peserta tentang rawatan yang mereka terima, dan saiz sampel.
Apakah yang kami temui?
Sepuluh kajian (sembilan pada orang dewasa dan satu pada kanak-kanak) menunjukkan bahawa FMT boleh meningkatkan kadar induksi remisi klinikal dan remisi endoskopi dan boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar sebarang kejadian buruk pada orang dengan UC aktif. Data mengenai risiko kejadian buruk yang serius dan peningkatan kualiti hidup sangat tidak pasti, dan tidak ada kesimpulan yang dapat dibuat mengenai hasil ini.
Dua kajian melaporkan data mengenai penggunaan FMT untuk mengekalkan remisi pada orang dewasa dengan UC terkawal. Secara keseluruhan, bukti sangat tidak pasti mengenai penggunaan FMT untuk mengekalkan remisi klinikal atau endoskopi dalam UC terkawal, serta risiko yang berkaitan dengan kejadian buruk dan peningkatan kualiti hidup.
Tiada kajian yang disertakan melaporkan data mengenai penggunaan FMT untuk mengawal CD aktif.
Satu kajian melaporkan data mengenai penggunaan FMT untuk mengekalkan remisi pada orang dewasa dengan CD terkawal, dan bukti itu sangat tidak pasti mengenai faedah dan risiko FMT apabila digunakan untuk mengekalkan remisi klinikal pada CD terkawal.
Kajian-kajian ini berbeza dalam kaedah, dos, dan kekerapan pemberian FMT, serta jenis penderma dan keterukan awal penyakit. Kaedah pemberian FMT termasuk kapsul oral, tiub nasoduodenal (tiub yang bergerak dari hidung ke usus kecil melalui perut), enema rektum, kolonoskopi (tiub yang dimasukkan ke dalam usus besar melalui dubur), dan kombinasi kaedah ini.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad disebabkan oleh bilangan peserta yang kecil, kebimbangan mengenai bagaimana kajian dijalankan, dan variasi kesan di antara kajian dalam beberapa analisis. Kajian tambahan diperlukan untuk menangani faedah dan risiko FMT pada orang dewasa dan kanak-kanak dengan IBD.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini adalah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2018. Bukti ini adalah terkini sehingga 22 Disember 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).