Pemberian tekanan udara positif nasal berterusan bagi pencegahan morbiditi dan mortaliti dalam kalangan bayi pramasa

Soalan ulasan

Bagaimana pemberian tekanan udara positif nasal berterusan (CPAP) tahap rendah berbanding tahap sederhana kepada bayi pramasa mengimpak hasil kesihatan penting?

Latar belakang

Bayi pramasa dilahirkan lebih awal dari jangkaan. Berbanding bayi cukup bulan, bayi pramasa mempunyai paru-paru yang kurang matang dan berisiko untuk separa kuncup. Penguncupan ini menyukarkan paru-paru untuk membawa oksigen ke dalam badan dan mengeluarkan karbon dioksida daripada badan. Sebagai respon, bayi lazim dirawat dengan CPAP nasal, terapi yang mengekalkan tekanan positif terhadap saluran pernafasan dalam usaha untuk memastikan paru-paru terbuka dan mencegah kegagalan respiratori. Tekanan diberi melalui topeng atau prong yang dipasang pada hidung. CPAP nasal boleh diguna pada masa kemasukan ke unit penjagaan intensif neonatal sebagai sokongan respiratori awal dan juga selepas tempoh ventilasi mekanikal (penggunaan mesin pernafasan) dan ekstubasi (pembuangan tiub pernafasan). Pengamal perubatan boleh memilih tahap tekanan yang perlu diberi. Jumlah tekanan dirujuk sebagai aras CPAP, yang diukur dalam unit sentimeter air (sm H 2 O). Tekanan yang tidak cukup dan terlalu banyak boleh membahayakan, dan tahap tekanan CPAP yang memberi hasil terbaik masih tidak pasti. Kami membuat carian komprehensif literatur perubatan untuk meringkaskan impak penggunaan tekanan awal CPAP tahap rendah (≤ 5 sm H 2 O) berbanding sederhana-tinggi (> 5 sm H 2 O) dalam kalangan bayi pramasa.

Ciri-ciri kajian

Carian adalah terkini sehingga 6 November 2020. Kami sertakan 11 kajian dalam ulasan ini. Empat kajian melaporkan hasil kesihatan yang kami pilih sebagai relevan dengan tahap CPAP nasal dan kesihatan keseluruhan bayi pramasa, manakala kajian-kajian selebihnya melaporkan hasil fisiologi jangka pendek seperti tahap oksigen, kadar denyut jantung dan tekanan darah.

Keputusan utama

Daripada empat kajian yang melaporkan hasil kesihatan yang terpilih, kami hanya boleh menggabungkan data daripada dua kajian yang membandingkan tahap CPAP nasal untuk sokongan respiratori awal dan dua kajian membandingkan tahap untuk sokongan selepas ekstubasi. Berdasarkan data daripada kajian-kajian ini, kami tidak pasti sama ada CPAP nasal tahap rendah atau sederhana tinggi boleh memperbaik hasil-hasil. Kajian lanjutan diperlukan untuk menjawab soalan ulasan ini.

Kepastian bukti

Bilangan keseluruhan kajian dan peserta adalah kecil, dan beberapa kajian yang disertakan mempunyai kelemahan yang berpotensi mengehadkan ketepatan penemuannya. Oleh itu, kami menilai dapatan kami sebagai kepastian yang sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information