Soalan ulasan
Sejauh mana keberkesanan rawatan paliatif pakar di hospital untuk orang dewasa berpenyakit lanjut dan penjaga mereka yang tidak dibayar gaji, dan adakahnya ia keberkesanan-kos?
Mengapakah soalan ini penting?
Penjagaan paliatif bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup orang yang mempunyai penyakit terminal (penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan berkemungkinan akan menyebabkan kematian). Ia bertujuan untuk membantu pesakit, penjaga dan keluarga mereka yang tidak berupaya menguruskan gejala yang menyebabkan keserabutan (misalnya, kesakitan) dan untuk memenuhi keperluan pesakit dan penjaga mereka yang tidak dibayar gaji bagi sokongan psikologi, sosial dan rohani. Penjagaan paliatif dikenali sebagai pendekatan 'holistik', kerana merawat manusia sebagai ‘menyeluruh’ dan rangkaian sokongan mereka - bukan hanya penyakit dan gejala. Penjagaan paliatif biasanya melibatkan kumpulan yang merangkumi doktor, jururawat, ahli farmasi, ahli profesional kesihatan sekutu lain-lain, pekerja sosial, pendeta atau sukarelawan.
Semakin banyak hospital menubuhkan perkhidmatan rawatan paliatif pakar (dikenali sebagai (HSPC)). HSPC boleh disediakan:
- sama ada di hospital itu sendiri - untuk pesakit dalam atau pesakit luar;
- atau sebagai 'hospital-at-home' - yang bermaksud bahawa pasukan hospital mengunjungi pesakit dalam komuniti;
- atau merentasi pelbagai prasarana (contohnya, hospital dan rumah).
Untuk mengetahui sama ada HSPC memberi manfaat kepada pesakit dan penjaga mereka yang tidak dibayar, dan sejauh mana keberkesanan kosnya, kami mengkaji bukti dari penyelidikan.
Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Pertama, kami mencari semua kajian yang berkaitan dalam literatur perubatan. Kami secara khusus mencari:
- kajian rawak terkawal: ini adalah kajian di mana orang dibahagi secara rawak kepada kumpulan rawatan yang berbeza. Jenis kajian ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan;
- kajian yang membandingkan HSPC dengan rawatan hospital tanpa rawatan paliatif pakar; penjagaan yang diterima di masyarakat; atau rawatan hospital di luar hospital.
Kami kemudiannya membandingkan keputusan-keputusannya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menaksir kejituan bukti itu. Kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan melintasi semua kajian. Berdasarkan penilaian, kami mengkategori bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 42 kajian yang melibatkan sejumlah 6678 pesakit dan 1101 penjaga atau ahli keluarga. Pesakit-pesakit ini mempunyai: penyakit barah (21 kajian); penyakit lanjut yang bukan barah (14 kajian); dan gabungan diagnosis barah dan bukan barah (campuran) (7 kajian). Enam pesakit daripada 14 kajian bukan barah mengalami kegagalan jantung. Hampir separuh (19) kajian dibuat di Amerika Syarikat. Tiga belas kajian melaporkan maklumat mengenai kos HSPC.
Bukti dari kajian yang kami temui menunjukkan bahawa, jika dibandingkan dengan rawatan biasa:
- HSPC sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit dari aspek kesihatan, keseluruhan beban gejala dan kepuasan mereka terhadap rawatan;
- HSPC mungkin meningkatkan kemungkinan meninggal dunia di tempat pilihan mereka.
Kesan HSPC terhadap kesakitan, beban penjaga, atau kejadian yang tidak diingini adalah tidak jelas. Ini kerana bukti yang kami temui tidak kukuh (bukti kepastian yang sangat rendah). Begitu juga, kerana bukti yang berkaitan dengan kos mempunyai kepastian yang sangat rendah, keberkesanan HSPC tidak jelas.
Apakah maksudnya?
Apabila dibandingkan dengan rawatan biasa, HSPC sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit, keseluruhan beban gejala dan kepuasan mereka terhadap rawatan. Ini juga dapat meningkatkan peluang mereka meninggal dunia di rumah. Walau bagaimanapun, penyelidikan pada masa depan cenderung terhadap perubahan penemuan ini, kerana ia berdasarkan bukti kepastian rendah. Kami memerlukan kajian lanjut untuk menilai kesan HSPC terhadap keputusan-keputusan lain, seperti kesakitan, beban penjaga, kejadian yang tidak diingini dan keberkesanan-kos.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Cochrane Review ini adalah terkini sehingga Ogos 2019.
Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my