Prostacyclin untuk hipertensi arteri pulmonari

Soalan ulasan

Kami ingin mengkaji sama ada sekumpulan ubat yang dikenali sebagai analog prostacyclin membantu orang yang mempunyai tekanan darah tinggi pulmonari. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Kenapa ulasan ini penting?

Hipertensi pulmonari boleh menyebabkan sesak nafas, mengurangkan toleransi senaman, mengurangkan kualiti hidup, hospitalisasi, dan kematian awal. Analog prostacyclin boleh meningkatkan peredaran darah dalam jantung dan paru-paru kanan. Kami mahu memastikan sekiranya ubat-ubatan ini digunakan, terdapatnya bukti tentang manfaat dan sedikit atau tiada bahaya.

Penemuan utama

Kami mendapati dan menyertakan 17 ujian dengan 3765 orang. Kebanyakan kajian adalah selama 12 minggu. Sebahagian ujian adalah selama 52 minggu. Kebanyakan kajian tersebut melibatkan orang dewasa. Orang yang diberikan analog prostacyclin dibandingkan dengan orang yang tidak diberikan prostacyclin. Peserta dalam empat ujian diberi ubat dengan drip berterusan (24 jam / hari) ke dalam urat (intravena) dan satu kajian lagi melalui suntikan berterusan di bawah kulit (subkutaneus). Dalam lima kajian orang menyedut ubat melalui nebuliser dan dalam lima kajian pula mereka mengambil tablet (oral). Peserta dalam dua kajian lagi mengambil tablet selexipag. Selexipag adalah sejenis agonis dari reseptor prostacyclin dan kajian mengenai selexipag dianalisis secara berasingan.

Orang yang diberi prostacyclins melalui drip intravena menunjukkan peningkatan hidup (peluang yang lebih rendah untuk mati). Mereka juga boleh berjalan dengan purata 92 meter lebih jauh dalam masa enam minit daripada orang yang tidak diberikan drip prostacyclin. Mereka juga lebih cenderung untuk meningkatkan kelas fungsinya (apa yang anda dapat dan tidak dapat lakukan setiap hari). Mereka yang mendapat prostacyclins intravena mempunyai fungsi jantung yang lebih baik secara puratanya daripada mereka yang tidak mempunyai rawatan.

Secara keseluruhannya, hasil adalah kurang jelas bagi orang-orang yang diberikan prostacyclins oral, ubat sedut atau subkutaneus. Ianya tidak jelas sama ada pemberian ubat dengan cara ini membawa kepada peningkatan hidup. Orang-orang yang menyedut (nebuliser) prostacyclins meningkat kelas fungsinya, berjalan dengan purata lebih 27 meter jauh dalam masa enam minit, dan mempunyai fungsi jantung yang lebih baik. Terdapat juga beberapa bukti bahawa prostacyclins subkutaneus meningkatkan fungsi jantung. Adalah tidak jelas jika mengambil tablet dapat memperbaiki kelas fungsi atau fungsi jantung. Orang yang menerima rawatan ini hanya berjalan sejauh 15 meter dalam masa enam minit berbanding mereka yang tidak menerima tablet prostacyclin.

Walaupun kajian ini mendapati bukti yang paling baik untuk prostacyclin adalah melalui drip berterusan, ia mungkin menyusahkan, dan mungkin meningkatkan risiko seperti jangkitan berkaitan dengan intravena. Tambahan pula, hampir semua orang yang mengambil dos yang dicadangkan dalam apa jua bentuk mempunyai kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat-ubatan (termasuk pemutihan, sakit kepala, sakit rahang, cirit-birit, sakit pada kaki mereka, kesan sampingan atas pernafasan, mual dan muntah).

Orang yang mengambil selexipag mempunyai gejala klinikal yang semakin teruk, dan perbezaan kurang 13 meter dalam ujian berjalan kaki selama enam minit berbanding orang yang mengambil plasebo. Orang-orang yang menggunakan selexipag juga lebih cenderung mempunyai kesan sampingan yang termasuk kepanasan, sakit rahang, cirit-birit, mual / muntah, dan rasa sakit pada otot / kaki.

Keterbatasan

Terdapat bukti kepastian yang sederhana bahawa prostacyclin membantu orang berbanding dengan mereka yang tidak menggunakannya. Manfaat yang terbaik adalah untuk mereka yang menerima ubat melalui drip berterusan, tetapi risikonya lebih tinggi. Juga, secara puratanya, kajian-kajian tersebut hanya berlangsung selama tiga bulan (sebahagiannya sehingga 1 tahun), dan ini mungkin tidak cukup untuk menilai manfaat atau risikonya.

Ulasan ini hanya mengambil kira mereka yang mempunyai diagnosis hipertensi arteri pulmonari, bukan mereka yang mempunyai hipertensi pulmonari yang dikaitkan dengan penyakit jantung sebelah kiri, penyakit paru-paru, atau hipertensi pulmonari akibat pembekuan darah.

Ulasan ini adalah terkini sehingga September 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

Tools
Information