Latar belakang
Thromboangiitis obliterans, yang turut dikenali sebagai penyakit Buerger, merupakan satu keadaan yang dicirikan oleh keradangan progresif berulang dan pembekuan darah dalam arteri bersaiz kecil dan sederhana, dan juga di vena tangan dan kaki. Puncanya tidak diketahui, tetapi paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki dengan sejarah penggunaan tembakau. Ia menyebabkan ulser dan sakit melampau dalam anggota perokok muda. Dalam kebanyakan kes, terutama dalam kalangan pesakit dengan jenis yang paling teruk, tiada kemungkinan untuk memperbaiki keadaan tersebut dengan pembedahan dan oleh itu, rawatan alternatif digunakan. Terapi sel stem adalah rawatan eksperimental yang dilakukan melalui penanaman sel (dari sumsum tulang, tali pusat, darah periferi dll) yang mampu menjadi saluran darah baharu, memperbaik peredaran darah setempat dan menyumbang kepada penyembuhan ulser dan melegakan sakit semasa rehat. Ulasan ini menilai keberkesanan terapi sel stem dalam rawatan pesakit dengan thromboangiitis obliterans (penyakit Buerger).
Keputusan utama
Hanya satu kajian rawak terkawal (18 peserta dengan thromboangiitis obliterans) yang membandingkan implantasi sel stem yang berasal dari sumsum tulang dengan plasebo dan rawatan pembalutan luka standard dimasukkan dalam ulasan ini (carian terbaharu adalah 17 Oktober 2017). Kami mengenal pasti satu ajian yang membandingkan terapi sel stem dari pelbagai sumber, terapi sel stem berbanding rawatan ubat dan terapi sel stem berbanding simpatektomi (pemotongan saraf simpatik secara pembedahan). Keputusan menunjukkan penurunan saiz ulser dan jarak berjalan kaki tanpa rasa sakit bertambah baik dalam kumpulan yang menerima implantasi sel stem berbanding kumpulan yang menerima plasebo dan rawatan penjagaan luka standard.
Hasil seperti kadar amputasi, sakit, survival bebas amputasi dan kesan buruk tidak dinilai.
Kualiti bukti
Kami mengklasifikasikan kualiti bukti sebagai sangat rendah, kerana hanya ada satu kajian, bilangan kecil peserta, dan risiko bias yang tinggi dalam banyak domain dan kehilangan maklumat tentang status pendedahan tembakau.
Kesimpulan
Bukti berkualiti sangat rendah menunjukkan mungkin ada kesan penggunaan sel stem dari sumsum tulang dalam penyembuhan ulser dan menambahbaik jarak berjalan kaki tanpa rasa sakit dalam kalangan pesakit dengan penyakit Buerger. Ujian berkualiti tinggi yang menilai keberkesanan terapi sel stem untuk rawatan pesakit dengan tromboangiitis obliterans (penyakit Buerger) diperlukan.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my