Suplemen zink enteral untuk pencegahan morbiditi dan kematian pada bayi pramatang

Soalan ulasan:adakah bayi pramatang (bayi yang dilahirkan lebih awal) jarang mati dan membesar dan berkembang baik apabila mereka mendapat zink tambahan melalui perut?

Latar belakang: zink adalah elemen kecil yang penting yang diperlukan oleh bayi untuk membesar dengan baik dan melawan jangkitan. Apabila bayi dilahirkan lebih awal, mereka kehilangan pemindahan banyak nutrien penting dari ibu melalui tali pusat yang biasanya berlaku pada minggu terakhir kehamilan. Oleh itu, simpanan zink mereka rendah. Menambah zink ke dalam susu bayi pramatang mungkin bermaksud bahawa mereka berkembang dan membesar dengan lebih baik dan kurang mendapat penyakit akibat komplikasi yang sering menjejaskan bayi yang dilahirkan terlalu awal, dan oleh itu lebih jarang mati.

Ciri-ciri kajian: kami memasukkan lima kajian kecil (482 bayi pramatang) yang semuanya mempunyai reka bentuk yang cukup kuat. Terdapat satu kajian yang sedang dijalankan. Pencarian kajian adalah terkini pada 20 Februari 2020.

Hasil utama: bayi pramatang yang mendapat zink tambahan melalui perut (maksimum 10 mg sehari sama ada melalui mulut atau melalui saluran makan) semasa mereka masih di hospital mungkin mati lebih jarang, mungkin menambah berat badan dan berkembang lebih panjang berbanding bayi pramatang yang tidak mendapat zink tambahan. Zink tambahan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada masalah biasa pada bayi pramatang seperti masalah paru-paru atau mata kronik, jangkitan bakteria atau masalah usus. Kajian yang kami sertakan dalam ulasan ini tidak mempunyai maklumat mengenai pengaruh zink tambahan terhadap perkembangan bayi di kemudian hari seperti kemampuan berjalan, pendengaran atau penglihatan, bahasa atau kecerdasan mereka. Kami tidak menemui petunjuk tentang kesan buruk zink tambahan yang diberikan kepada bayi. Kajian baru dan lebih besar adalah diperlukan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesan terhadap perkembangan dan pertumbuhan jangka panjang apabila zink diberikan melalui perut kepada bayi yang lahir lebih awal.

Kepastian bukti: kami menilai bukti dari kajian yang disertakan mengenai kesan zink tambahan pada bayi pramatang sebagai 'berkepastian rendah hingga sederhana', kerana kajian yang kecil, ada yang mempunyai beberapa kelemahan kaedah dan penemuan yang dilaporkan adalah tidak konsisten antara satu sama lain untuk beberapa hasil. Ini bermaksud bahawa penyelidikan lebih lanjut melalui kajian yang lebih besar kemungkinan akan memberikan sumbangan penting kepada pengetahuan yang sedia ada dan meningkatkan keyakinan kami terhadap hasilnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information