Insisi kanta torik intraokular berbanding insisi pengendur limbal untuk astigmatisme kornea dalam pembedahan katarak

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui bagaimana kanta torik intraokular (IOL) berbanding insisi pengendur limbal (LRI) bagi membetulkan astigmatisme semasa pembedahan katarak. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui 10 kajian.

Mesej-mesej utama
Ulasan menunjukkan IOL torik mungkin memberi peluang lebih tinggi hasil yang baik berkaitan dengan astigmatisme selepas pembedahan katarak berbanding LRI. Perbezaan dalam purata astigmatisme mungkin kecil dan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam penglihatan atau kualiti hidup. Terdapat kurang bukti teknik-teknik mana yang mewakili nilai terbaik untuk wang.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Apabila orang semakin tua, kanta dalam mata boleh menjadi kabut: ini dikenali sebagai katarak. Doktor mata boleh menjalankan operasi untuk membuang katarak dan menggantikannya dengan IOL tiruan yang jernih. Tingkap yang jernih di hadapan mata (kornea) memfokus cahaya ke 'filem' di belakang mata (retina). Kornea normal tidak berbentuk kubah yang sempurna; Ia lazim digambarkan berbentuk seperti bola ragbi. Oleh kerana bentuk ini, mata memfokus cahaya yang tidak sempurna ke atas retina dan ini dikenali sebagai astigmatisme. Ia diukur dalam unit yang dipanggil diopter. Bagi kebanyakan mata, astigmatisme adalah sedikit dan tidak menyebabkan sebarang gejala. Dalam sesetengah orang, astigmatisme cukup besar untuk menyebabkan kekaburan visual yang ketara. Biasanya astigmatisme diperbetul dengan cermin mata. Walau bagaimanapun, semasa pembedahan katarak terdapat dua cara yang mungkin untuk membetulkan astigmatisme, sama ada dengan meletakkan kanta "torik" khas, atau dengan melakukan insisi khas yang dikenali sebagai insisi pengendur limbal. Pembedahan katarak adalah satu pembedahan yang lazim dan astigmatisme juga merupakan keadaan yang lazim. Untuk mencapai penglihatan terbaik selepas pembedahan bagi orang dengan astigmatisme adalah penting untuk memahami cara terbaik membetulkannya.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penyelidik Cochrane menemui 10 kajian yang relevan. Kajian ini berlangsung di China (tiga kajian), UK (tiga), Brazil (satu), India (satu), Itali (satu) dan Sepanyol (satu). Kajian-kajian membandingkan IOL torik dengan LRI untuk orang dengan astigmatisme yang menjalani pembedahan katarak.

Penyelidik Cochrane menilai kepastian bukti untuk setiap dapatan ulasan. Mereka mencari faktor-faktor yang boleh mengurangkan kepastian bukti, seperti masalah dengan cara pelaksanaan kajian, kajian yang sangat kecil, dan penemuan yang tidak konsisten antara kajian-kajian. Mereka mengred setiap dapatan sebagai kepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Ulasan ini menunjukkan:

⇒ Pesakit yang menerima IOL torik mungkin lebih cenderung untuk mencapai hasil yang baik berkaitan astigmatisme (yang bermaksud astigmatisme kurang daripada 0.5 diopter) enam bulan atau lebih selepas pembedahan berbanding orang yang menerima LRI (bukti kepastian sederhana). ⇒ Secara purata, mungkin terdapat perbezaan kecil astigmatisme di antara kedua-dua kumpulan selepas pembedahan, menyokong IOL torik (bukti kepastian rendah).

⇒ Orang yang menerima IOL torik mungkin menunjukkan peningkatan kecil dalam akuiti visual enam bulan atau lebih selepas pembedahan berbanding orang yang menerima LRI, tetapi perbezaannya adalah kecil dan mungkin tidak penting secara klinikal (bukti kepastian sederhana).

⇒ Mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam kualiti hidup yang berkaitan dengan penglihatan (bukti kepastian rendah).

⇒ Orang yang menerima IOL torik mungkin lebih cenderung tidak memerlukan cermin mata untuk mencapai penglihatan jarak terbaik mereka berbanding orang yang menerima LRI (bukti kepastian rendah).

⇒ Terdapat hanya bukti kepastian sangat rendah tentang kesan buruk.

⇒ Penyelidik Cochrane mendapati tiada kajian ekonomi yang membandingkan IOL torik dengan LRI.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Penyelidik Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information