Soalan ulasan
Bagaimanakah dos sinaran yang lebih tinggi berbanding dos yang lebih rendah apabila merawat kanser prostat yang terhad kepada kelenjar prostat?
Latar belakang
Rawatan untuk kanser prostat termasuklah pembedahan, terapi sinaran, terapi hormon, dan kemoterapi. Terapi sinaran (RT) ialah rawatan yang menggunakan pancaran tenaga yang kuat untuk membunuh sel-sel kanser. RT penambahan dos mempunyai dos sinaran yang lebih tinggi berbanding dos RT biasa atau 'normal' (konvensional), untuk membunuh kanser dengan lebih baik, tetapi ia juga mungkin meningkatkan kesan yang tidak diingini yang datang daripada sinaran yang terkena pada organ lain seperti pundi kencing dan rektum. Kami melakukan kajian ini untuk lebih memahami bagaimana perbandingan kedua-dua jenis sinaran .
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati sembilan kajian melibatkan 5437 lelaki yang membandingkan RT penambahan dos dengan RT dos konvensional. Kebanyakan pesakit berusia lewat 60-an hingga awal 70-an, dan kebanyakan mereka menghidap kanser prostat peringkat awal.
Keputusan utama
Berbanding RT dos konvensional, RT penambahan dos mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian akibat kanser prostat. Ia juga mungkin menyebabkan sedikit atau tiada kesan yang teruk pada usus atau kesan yang tidak diingini berkaitan urinari dalam jangka panjang. Mungkin juga terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kematian akibat sebarang punca atau daripada perebakan ke organ lain (seperti tulang atau nodus limfa). Bergantung kepada ukuran kualiti hidup jangka panjang tertentu, RT penambahan dos mungkin mempunyai atau mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kesihatan fizikal dan kesihatan mental.
Kualiti bukti
Kepastian bukti untuk semual hasil utama adalah sederhana atau rendah. Kesan sebenar mungkin agak berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh ulasan ini.
Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my