Cannabinoid untuk rawatan demensia

Latar belakang

Demensia adalah nama untuk pelbagai keadaan berkaitan dengan kehilangan secara berterusan keupayaan berfikir, daya ingatan, dan keupayaan mental yang lain. Rawatan perubatan untuk demensia adalah terhad dan memberikan faedah yang sederhana. Banyak ubat dan intervensi bukan farmakologi digunakan untuk merawat gejala tingkah laku dan psikologi demensia. Walau bagaimanapun, terdapat masalah yang berterusan dengan kurangnya keberkesanan, keselamatan, dan kesesuaiannya. Sehubungan itu, rawatan baru, selamat, dan lebih berkesan adalah diperlukan untuk demensia dan gejala-gejala yang berkaitan dengannya.

Soalan ulasan kami

Cannabinoid merupakan satu agen berpotensi yang dikaji untuk rawatan demensia. Tujuan ulasan sistematik ini adalah untuk menyiasat sama ada cannabinoid dapat membantu pesakit demensia, dan sama ada ia berkemungkinan mempunyai kesan yang memudaratkan.

Apa yang kami buat

Kami telah mencari pangkalan data saintifik untuk mendapatkan kajian-kajian yang menentukan secara rawak sama ada pesakit dirawat dengan cannabinoid atau pembanding. Kami menggabungkan keputusan daripada kajian-kajian yang dimasukkan untuk menganggar keberkesanan cannabinoid. Kami juga menilai sejauh mana kajian ini dijalankan dengan baik dan kebolehpercayaan keputusan kajian.

Apa yang kami temui

Kami mencari kajian berkaitan yang diterbitkan sehingga Jun 2020. Kami menemui empat kajian yang memenuhi kriteria kemasukan ulasan ini. Seramai 126 pesakit telah dimasukkan dalam empat kajian tersebut. Sebilangan besar peserta menghidap penyakit Alzheimer, dan beberapa orang menghidap demensia vaskular atau demensia campuran.

Satu kajian dijalankan di Amerika Syarikat, satu di Kanada, dan dua di Belanda. Kajian menggunakan jenis cannabinoid yang berbeza. Kajian melaporkan bahawa cannabinoid mempunyai sedikit atau tiada kesan pada ingatan dan pemikiran. Kajian melaporkan keputusan yang bebeza mengenai gejala tingkah laku dan psikologi demensia secara keseluruhan, bergantung pada golongan individu yang melaporkan data. Keluarga penjaga tidak melaporkan kesan bermanfaat cannabinoid terhadap gejala tingkah laku dan psikologi, tetapi staf jururawat melaporkan pengurangan gejala dalam kalangan peserta yang menerima cannabinoid. Mudarat dilaporkan dalam semua kajian, bagi kedua-dua kumpulan peserta yang mengambil cannabinoid dan yang mengambil plasebo. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat menggabungkan jumlah kejadian mudarat disebabkan masalah dalam pelaporan data. Tiada perbezaan ketara antara peserta yang mengambil cannabinoid dengan peserta yang diberikan plasebo dalam jumlah kejadian mudarat yang tergolong dalam gangguan sistem saraf, gangguan psikatri, dan gangguan gastrousus . Kesan penenang (termasuk kelesuan) adalah lebih kerap dalam peserta yang mengambil cannabinoid, namun keputusan ini adalah tidak pasti. Kami sangat kurang yakin dalam keputusan ini disebabkan kajian melibatkan sedikit peserta, terdapat perbezaan antara kajian, dan keputusan kajian yang tidak pasti.

Kesimpulan kami

Berdasarkan data daripada empat kajian kecil yang singkat, adalah tidak pasti sama ada cannabinoid mempunyai sebarang kesan yang berfaedah atau mudarat pada demensia, berbanding plasebo. Walaupun manfaat yang dilaporkan dalam kajian adalah benar, kesannya adalah sederhana dan mungkin tidak penting kepada pesakit yang hidup dengan demensia. Tambahan pula, kajian yang ada sangat singkat, dengan keberkesanan dinilai dalam tempoh 3 hingga 14 minggu, dan satu kajian tidak melaporkan kaedah dan keputusan dengan lengkap. Kajian yang besar, - dijalankan dengan baik adalah diperlukan bagi memahami dengan lebih baik sama ada cannabinoid bermanfaat pada pesakit yang hidup dengan demensia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Salizawati Muhamad Salhimi. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information