Latar belakang
Melecur adalah kecederaan biasa di seluruh dunia dan boleh menyebabkan penyakit, kecacatan seumur hidup, dan bahkan kematian. Melecur yang dalam sering memerlukan pembedahan kerana kulit terlalu rosak untuk sembuh secara sendirinya. Kulit yang rosak dan melecur mesti dipotong (debride) dan diganti dengan kulit yang sihat, yang biasanya merupakan lapisan kulit sihat yang sangat nipis (graf) yang diambil dari bahagian tubuh yang lain. Debridement biasanya dilakukan dengan pisau pembedahan tertentu.
Baru-baru ini, sistem jet berasaskan air bertekanan tinggi telah dibangunkan dan dikenali sebagai hidrosurgeri. Alat ini hanya membuang kulit yang melecur, yang tertinggal adalah kulit yang sihat dan tidak melecur. Pembedahan hidro mungkin lebih tepat berbanding pengunaan pisau dari segi mengeluarkan kulit yang melecur, yang boleh membawa kepada penyembuhan yang lebih baik.
Semua luka terbuka, termasuk melecur, berisiko mendapat jangkitan maka debridement yang mencukupi adalah penting untuk mengurangkan risiko jangkitan. Sekiranya luka ditutup dengan cepat, ia akan sembuh dengan lebih baik, dengan kesan parut yang sedikit dan risiko jangkitan yang rendah.
Apakah yang ingin kami temui?
Dalam Ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui sama ada melecur yang dirawat dengan pembedahan hidro lebih cepat sembuh dan dengan kurang jangkitan berbanding melecur yang dirawat dengan pisau. Kami juga ingin melihat sama ada terdapat perbezaan dalam kualiti hidup secara keseluruhan, seberapa baik luka tersebut sembuh dari segi parut dan jumlah sumber perubatan yang digunakan (menggunakan langkah-langkah seperti jumlah pembalut yang ditukar dan perjumpaan di klinik melecur, tempoh tinggal di hospital, dan jika pembedahan lebih lanjut adalah diperlukan).
Kaedah kami
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian terkawal secara rawak (RCT) yang membandingkan rawatan melecur menggunakan hidrosurgeri dengan konvensional debridement. Kajian terkawal secara rawak ialah kajian perubatan yang mana rawatan atau penjagaan yang diterima oleh pesakit adalah dipilih secara rawak. Kajian jenis ini memberi bukti kesihatan yang paling boleh dipercayai tentang sama ada pelbagai pendekatan penjagaan kesihatan menghasilkan perbezaan. Umur peserta dalam kajian ini tidak ditetapkan. Kajian boleh dilakukan di mana sahaja dan dilaporkan dalam apa-apa bahasa.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami hanya menemui satu kajian dari Australia yang merangkumkan 61 kanak-kanak yang mengalami melecur yang kecil. Kanak-kanak tersebut secara rawaknya dimasukkan untuk rawatan sama ada pembedahan hidrosurgeri atau pembedahan konvensional. Hidrosurgeri hanya menonjolkan sedikit atau tiada perbezaan berbanding dengan teknik debridement konvensional bagi tempoh melecur sembuh sepenuhnya, jangkitan selepas pembedahan atau parut. Terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam tempoh melakukan debridement menggunakan hidrosurgeri berbanding dengan pembedahan konvensional. Kajian ini tidak memberikan maklumat mengenai kualiti hidup atau penggunaan sumber.
Kepastian bukti
Kepastian (keyakinan) kami terhadap bukti adalah sangat terhad kerana kami hanya menemui satu kajian. Ia hanya melibatkan kanak-kanak, jadi hasilnya tidak boleh digunakan untuk orang dewasa atau orang yang mengalami melecur yang lebih teruk. Ia adalah kajian rawak, tetapi tidak melaporkan hasil yang kami jangkakan darinya, jadi kami tidak pasti sejauh mana hasilnya dapat dipercayai.
Kesimpulan
Kami tidak tahu jika hidrosurgeri adalah lebih baik daripada pembedahan konvensional untuk rawatan awal melecur separuh ketebalan. Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk menyiasat soalan ini.
Tarikh carian
Ulasan ini merangkumkan semua kajian yang telah diterbitkan sehingga Disember 2019.
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my