Histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf untuk kanser serviks tahap awal

Isunya
Histerektomi radikal adalah salah satu rawatan piawai untuk kanser serviks tahap awal. Dalam pembedahan ini, uterus (rahim), serviks, vagina atas dan tisu-tisu yang mengelilingi serviks dan bahagian atas vagina dikeluarkan. Kerana jangkauan pembedahan ini, wanita mungkin mengalami masalah membuang air kecil yang memberi kesan kepada kualiti hidup.

Tujuan ulasan
Histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf adalah teknik histerektomi radikal yang dihasilkan untuk mengekalkan saraf pelvis bagi mencegah kehilangan fungsi pundi kencing. Namun, pembedahan tersebut berpotensi mengurangkan kelangsungan hidup dan meningkatkan kemungkinan barah berulang. Kami mencari pangkalan data saintifik untuk artikel yang diterbitkan hingga Mei 2018 dan merangkumkan kajian di mana wanita diperuntukkan secara rawak untuk pembedahan biasa atau pembedahan yang menyelamatkan saraf.

Apakah penemuan utama?
Kami menemui empat kajian kecil yang membandingkan histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf berbanding histerektomi radikal piawai. Tidak ada kajian yang dirangkumkan yang melaporkan data mengenai keseluruhan kelangsungan hidup dan kadar kateterisasi kendiri yang berselang (prosedur di mana pesakit secara berkala memasukkan tiub kecil (kateter) melalui uretra ke dalam pundi kencing untuk mengosongkan air kencing) selama lebih dari satu bulan selepas pembedahan. Kami tidak dapat menilai kesan relatif kedua-dua pembedahan ini terhadap kualiti hidup kerana data yang tidak konsisten yang dilaporkan. Wanita yang menjalani histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf mempunyai fungsi pengosongan yang lebih baik (teknik latihan pundi kencing di mana wanita diarahkan untuk membuang air kecil mengikut jadual yang telah ditentukan) selepas pembedahan berbanding dengan mereka yang menjalani histerektomi radikal piawai. Kami tidak menemui bukti bahawa wanita yang menjalani histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf cenderung mengalami kesan buruk dari pembedahan atau pengulangan barah mereka. Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah.

Apakah kesimpulannya?
Histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf boleh mengurangkan kemungkinan kehilangan fungsi pundi kencing berbanding histerektomi radikal piawai. Namun, kepastian bukti ini adalah rendah dan kajian lanjut berpotensi untuk memaklumkan hasil ini dengan lebih baik. Kami sangat tidak pasti sama ada histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf adalah selamat dari segi kelangungan hidup dari barah. Bukti pengulangan barah adalah berkepastian sangat rendah, tidak ada data jangka panjang mengenai risiko kematian akibat barah atau sebab yang lain. Kajian antarabangsa yang berkualiti tinggi melibatkan banyak wanita adalah diperlukan untuk memberitahu kami sama ada histerektomi radikal yang menyelamatkan saraf bermanfaat dalam hal kelangsungan hidup bagi wanita dengan barah serviks tahap awal, kerana risiko pengulangan dalam kumpulan ini adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Le Er (RCSI-UCD Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiuccd.edu.my.

Tools
Information