Berapa berkesankah strategi untuk membantu pesakit dan keluarga mereka mendapatkan penjagaan perubatan kecemasan apabila keadaan kesihatan mengancam nyawa?

Kecemasan perubatan

Keadaan yang mengancam nyawa adalah kecemasan perubatan. Semakin cepat seseorang mendapatkan penjagaan perubatan yang betul, semakin besar peluang untuk hidup. Apabila pesakit dan keluarga mereka tahu tanda-tanda kecemasan perubatan yang mengancam nyawa dan cara terbaik untuk menyampaikan kebimbangan kemerosotan kesihatan, mereka boleh bertindak segera untuk mendapatkan penjagaan kecemasan dan bekerjasama dengan kakitangan untuk memastikan respons yang tepat pada masanya.

Meningkatkan penglibatan pesakit dan keluarga

Pendidikan dan bimbingan tersedia untuk membantu pesakit dan keluarga mereka, dan profesional penjagaan kesihatan bekerjasama untuk memastikan pesakit dan keluarga boleh mendapatkan penjagaan kecemasan apabila diperlukan. Strategi-strategi ini memfokus kepada:

- membantu pesakit dan keluarga mereka menyedari perubahan keadaan pesakit dan memberitahu kakitangan penjagaan kesihatan;

- memperkasa pesakit dan keluarga untuk yakin mengaturkan penjagaan segera atau kecemasan;

- kakitangan penjagaan kesihatan memberi pesakit dan keluarga peluang untuk menyampaikan kebimbangan mereka, dan mendengar secara aktif semasa rundingan kecemasan; dan

- melatih kakitangan penjagaan kesihatan untuk respon dengan betul apabila pesakit dan keluarga mereka menyuarakan kebimbangan tentang keadaan pesakit.

Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini

Kami ingin tahu jika strategi pendidikan dan bimbingan dapat membantu pesakit dan keluarga mengenal apabila perubahan keadaan kesihatan mengancam nyawa dan bertindak untuk membantu mendapatkan penjagaan kecemasan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menguji strategi untuk melibatkan dan memperkasa pesakit dan keluarga mereka mendapatkan penjagaan kecemasan untuk keadaan perubatan yang mengancam nyawa. Kami juga menyertakan kajian-kajian di mana strategi tersebut menyertakan komponen yang mensasarkan pembolehan respons kakitangan.

Kami mencari kajian yang mana strategi yang diterima orang ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan-kesan strategi.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 21 Oktober 2019.

Apa yang kami temui

Kami menemui sembilan kajian yang relevan dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang berbeza yang mana 436,684 pesakit dan ahli keluarga mengambil bahagian. Tujuh strategi yang disertakan melibatkan sesi pendidikan atau bimbingan bersemuka untuk pesakit dan keluarga, dan dua melibatkan program pendidikan kepada kakitangan penjagaan kesihatan serta pesakit dan keluarga mereka. Semua strategi mempunyai bahagian pendidikan dan bahagian penglibatan (contohnya, pemantauan diri; menggunakan rancangan tindakan); dua strategi juga memfokus kemahiran komunikasi dan menggunakan bahasa yang sama.

Semua kajian membandingkan penjagaan biasa dengan menerima strategi untuk meningkatkan penglibatan pesakit dan keluarga mereka untuk mendapatkan penjagaan kecemasan. Dalam empat kajian, orang dalam kumpulan penjagaan biasa juga menerima maklumat atau strategi pendidikan. Kajian-kajian berbeza dalam reka bentuk dan penilaian mereka, menjadikannya sukar untuk membandingkan semua keputusan.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat kepuasan pesakit, atau keluarga mereka dengan penjagaan, atau pendapat mereka tentang penglibatan mereka dalam mendapatkan penjagaan kecemasan.

Apakah keputusan ulasan kami?

Berbanding penjagaan biasa, strategi untuk memperbaik penglibatan dalam mendapatkan penjagaan kecemasan:

- mungkin membantu pesakit dan keluarga mereka mengetahui tanda bahaya yang perlu diperhatikan, dan mengetahui tindakan yang betul untuk diambil (4 kajian; 3086 orang);

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kelahiran mati dalam kehamilan (1 kajian; 409,175 orang); dan

- mungkin tidak meningkatkan tahap keresahan dalam kalangan pesakit dan keluarga mereka (1 kajian; 2,597 orang).

Kami tidak pasti jika strategi-strategi itu mempengaruhi:

- keyakinan orang untuk mengenali dan melaporkan keadaan kesihatan yang bertambah buruk (2 kajian; 217 orang); atau

- tempoh antara permulaan simptom yang mengancam nyawa dan penerimaan rawatan kecemasan (4 kajian; 27,023 orang).

Keyakinan kami dalam keputusan

Kami berkeyakinan sederhana tentang kesan strategi-strategi tersebut terhadap tahap keresahan dan kelahiran mati, walaupun keputusan-keputusan ini mungkin berubah dengan bukti lebih lanjut. Kami kurang yakin tentang penemuan-penemuan yang lain, yang mungkin berubah dengan bukti lebih lanjut. Sesetengah kajian yang kami bandingkan mempunyai bilangan kecil orang yang mengambil bahagian, oleh itu keputusannya mungkin tidak boleh percaya.

Kesimpulan

Strategi-strategi untuk membantu pesakit dan keluarga mereka untuk mendapatkan penjagaan kecemasan mungkin meningkatkan pengetahuan mereka tentang keadaan yang mengancam nyawa, dan mungkin tidak meningkatkan keresahan mereka lebih dari penjagaan biasa

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information