Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamatnya adalah untuk mengetahui apakah diet yang boleh diguna untuk induksi atau mengekalkan remisi dalam kalangan orang dengan IBD.
Apakah IBD?
IBD melibatkan keradangan saluran gastrousus. Kolitis ulceratif (UC) dan penyakit Crohn (CD) adalah jenis IBD yang paling lazim. Gejala-gejala termasuklah sakit perut, cirit-birit dan perdarahan rektum. CD dicirikan oleh episod relaps apabila orang mengalami gejala penyakit aktif dan episod remisi apabila gejala berhenti. Walaupun sesetengah makanan boleh mencetuskan gejala IBD, hanya sedikit diketahui sama ada diet membantu untuk induksi mengekalkan remisi dalam IBD.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian sehingga 31 Januari 2019.
Apakah keputusan utama ulasan?
Kami mendapati 18 kajian melibatkan 1878 peserta. Diet yang dikaji termasuk pengurangan atau pengecualian makanan yang dipercayai memprovokasi gejala IBD. Makanan-makanan ini dibandingkan dengan diet ‘biasa’. Kajian-kajian menilai intervensi diet untuk CD aktif (enam kajian), CD tidak aktif (tujuh kajian), UC aktif (satu kajian) dan UC tidak aktif (empat kajian). Satu kajian merekrut kanak-kanak, manakala yang lainnya memasukkan orang dewasa. Reka bentuk kajian-kajian adalah kurang baik dan mempunyai sebilangan kecil peserta. Akibatnya keseluruhan bukti adalah berkualiti sangat rendah.
Kesan serat yang tinggi, karbohidrat tertapis rendah, mikropartikel rendah, kalsium rendah, diet berpandukan gejala dan diet organik yang sangat terhad terhadap remisi klinikal dalam CD aktif adalah tidak pasti. Dalam satu kajian, remisi dicapai pada 4 minggu dalam 100% (4/4) peserta dengan karbohidrat tertapis rendah berbanding 0% (0/3) peserta dengan diet biasa. Dalam analisis gabungan dua kajian, 44% (23/52) peserta dengan micropartikel rendah mencapai remisi pada 16 minggu berbanding 25% (13/51) peserta dengan diet biasa. Satu kajian mendapati 50% (16/32) peserta berpandukan gejala mencapai remisi berbanding 0% (0/19) peserta dengan diet biasa. Satu kajian mendapati bahawa 50% (4/8) peserta diet organik yang sangat terhad mencapai remisi pada 24 minggu berbanding 50% (5/10) peserta dengan diet biasa. Satu kajian mendapati 37% (16/43) peserta dengan kalsium rendah mencapai remisi pada 16 minggu berbanding 30% (12/40) peserta dengan diet biasa.
Kesan karbohidrat tertapis rendah, diet berpandukan gejala dan diet rendah daging proses terhadap relaps dalam CD tidak aktif adalah tidak pasti. Dalam analisis gabungan tiga kajian, 67% peserta (176/264) dengan karbohidrat tertapis rendah mencapai relaps pada 12 hingga 24 bulan berbanding 64%(193/303) peserta dengan diet biasa. Dalam analisis gabungan dua kajian, 48% (24/50) peserta berpandukan simptom mencapai relpas pada 6 hingga 24 bulan berbanding 83% (40/48) peserta dengan diet biasa. Satu kajian mendapati 66% (63/96) peserta dengan daging proses rendah mencapai relaps 48 minggu berbanding 63% (75/118) peserta dengan diet biasa. Satu kajian menunjukkan 0% (0/16) peserta dengan diet pengecualian (iaitu disakarida rendah, bijirin, lemak tepu, daging merah proses) relaps pada 12 bulan berbanding 26% (10/38) peserta dengan diet biasa.
Kesan diet berpandukan simptom terhadap remisi klinikal dalam UC aktif adalah tidak pasti. Dalam satu kajian, 36% (4/11) peserta berpandukan simptom mencapai remisi pada enam minggu berbanding 0% (0/10) di dalam kumpulan diet biasa.
Kesan diet anti-radang berasaskan Alberta, diet bebas Karagenan dan diet tanpa susu terhadap relaps dalam UC tidak aktif adalah tidak pasti. Dalam satu kajian, 36% (5/14) peserta diet berasaskan Alberta mencapai relaps pada 6 bulan berbanding 29% (4/14) peserta dengan diet biasa. Dalam satu kajian, 30% (3/10) peserta bebas Karagenan mencapai relaps pada 12 bulan berbanding 60% (3/5) peserta dengan diet biasa. Pada 12 bulan, 59% (23/39) peserta dengan diet tanpa susu mencapai relaps berbanding 68% (26/38) dalam kumpulan dengan diet biasa.
Tiada kajian yang melaporkan kesan sampingan yang berkaitan dengan diet.
Kesimpulan
Kesan intervensi diet terhadap CD dan UC adalah tidak pasti. Oleh itu tidak ada kesimpulan kukuh mengenai manfaat dan mudarat intervensi diet dalam CD dan UC boleh dibuat. Terdapat keperluan konsensus mengenai komposisi intervensi diet dalam IBD dan lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai intervensi ini. Pada masa ini, terdapat lima kajian yang sedang berlangsung (anggaran enrolmen 498 peserta). Ulasan ini akan dikemas kini apabila keputusan kajian ini tersedia.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.