Mesej utama
Bagi orang dengan gangguan sendi temporomandibular (TMD), mengguna sejenis pelindung mulut yang dikenali sebagai splin oklusal mungkin mengurangkan sakit otot semasa mengunyah berbanding tidak menerima rawatan, tetapi keputusannya sangat tidak pasti. Terdapat sedikit atau tiada bukti splin oklusal boleh memberi manfaat lain,tetapi keputusan tersebut juga tidak pasti.
Kajian lanjut diperlukan untuk mencari bukti jelas sama ada splin oklusal atau pembetulan (iaitu mengasah gigi) bermanfaat atau memudaratkan, dan untuk menilai kesannya berbanding rawatan lain .
Apakah itu gangguan temporomandibular?
Gangguan temporomandibular (TMD) mempengaruhi sendi rahang atau otot yang menggerakkan rahang dan boleh menyebabkan masalah seperti sakit, pengurangan pembukaan mulut, dan sendi rahang berkertik. Gangguan temporomandibular boleh melibatkan otot atau sendi, atau kedua-duanya, sama ada pada satu atau kedua-dua belah muka.
Apakah itu rawatan oklusal?
Rawatan oklusal mengubah cara permukaan gigitan gigi atas dan gigi bawah bersentuhan semasa bergerak (cth semasa mengunyah) atau semasa rehat. Ini dapat dilakukan dengan mengguna splin mulut (oklusal), atau dengan pembetulan iaitu mengasah gigi. Splin mulut boleh dikategori sebagai penstabil, refleks, atau reposisi bergantung kepada cara ia berfungsi.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu keberkesanan rawatan oklusal dalam kalangan orang dengan gangguan TMD berbanding tiada rawatan atau rawatan lain.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data kajian-kajian penyelidikan . Kami hanya memilih kajian rawak terkawal kerana kajian jenis ini adalah jenis terbaik untuk memastikan kumpulan peserta adalah serupa dan untuk menilai jika sesuatu rawatan benar-benar berkesan. Dalam kajian rawak terkawal, orang diagihkan secara rawak kepada satu rawatan atau yang lain, atau kepada kumpulan yang tidak menerima rawatan. Secara unggul, kajian-kajian ini dijalankan secara 'butaan', iaitu profesional penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kajian dan orang yang mengambil bahagian tidak tahu siapa yang berada dalam kumpulan mana.
Matlamat kami adalah untuk mengenal pasti kajian-kajian yang membandingkan rawatan oklusal untuk TMD berbanding tanpa rawatan atau rawatan lain. Kami berminat dengan kesan pada sakit sendi rahang, sakit otot semasa rehat dan semasa pergerakan, ketidakselesaan, kekerapan dan intensiti klik pada sendi rahang, TMD berulang selepas rawatan, kualiti hidup dan kepuasan.
Kami menggunakan kaedah Cochrane standard untuk mencari dan memilih kajian, memutuskan maklumat yang perlu dikumpul daripada setiap kajian, menilai risiko bias dalam kajian, dan menilai kebolehpercayaan keputusan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 57 kajian yang relevan, di mana 2846 orang (kedua-dua jantina) mengambil bahagian. Tempoh kajian adalah dalam julat 5 minggu hingga 84 bulan. Kepurusan utama yang dibentangkan di bawah adalah berdasarkan ukuran yang dibuat antara 4.4 minggu hingga 4 bulan. Kajian-kajian tersebut menilai splin penstabilan keras berbanding tanpa rawatan, plasebo (splin palsu), terapi fizikal , terapi tingkah laku, akupunktur, ubat-ubatan, atau jenis splin oklusal lain.
Keputusan utama
Kajian-kajian melibatkan orang dengan pelbagai jenis TMD yang menerima rawatan yang berbeza , dan mereka mengukur hasil dengan pelbagai cara. Ini bermakna hanya sebilangan kecil peserta menyumbang kepada setiap keputusan, oleh itu kami hanya sedikit yakin terhadap bukti tersedia .
Adalah tidak jelas jika penggunaan splin oklusal memberi sebarang kesan kepada sakit sendi rahang apabila mengunyah berbanding splin plasebo atau ubatan dalam kalangan orang dengan TMD kerana jenis TMD berbeza di antara kajian.
Splin oklusal boleh mengurangkan sakit otot rahang semasa mengunyah berbanding tanpa rawatan, tetapi bukti sangat tidak pasti. Adalah tidak jelas jika splin oklusal berkesan terhadap sakit otot rahang semasa mengunyah berbanding rawatan laser . Adalah tidak jelas jika splin oklusal berkesan terhadap sakit otot rahang ketika rehat berbanding tanpa rawatan atau terapi fizikal .
Adalah tidak jelas sama ada belat pengancing mempunyai sebarang kesan terhadap keterukan ketikan sendi rahang jika dibandingkan dengan tanpa rawatan. Terapi fizikal mungkin lebih baik daripada splin oklusal untuk mengurangkan keterukan kertikan sendi rahang, tetapi bukti sangat tidak pasti. Adalah tidak jelas jika splin oklusal berkesan terhadap kekerapan kertikan sendi rahang berbanding plasebo atau senaman rahang.
Adalah tidak jelas jika satu jenis splin lebih berkesan berbanding splin jenis lain dengan mekanisme tindakan yang berbeza .
Tiada kajian yang melaporkan sama ada splin oklusal mengurangkan ketidakselesaan atau membuat TMD kurang cenderung berulang.
Apakah batasan bukti?
Kami berkeyakinan sangat rendah terhadap bukti kerana kebanyakan kajian bermasalah dengan cara rekaan. Misalan, sesetengah peserta sedia maklum tentang jenis rawatan yang diterima, dan ini boleh mempengaruhi tanggapan mereka terhadap gejala atau cara mereka menilai. Tidak semua kajian menyediakan data tentang hasil yang kami minati. Ini bermakna kami harus berhati-hati dalam mentafsir keputusan kerana ia mungkin tidak boleh dipercayai.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini berdasarkan carian yang dijalankan pada 9 Ogos 2022.
.Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).