Intervensi untuk menggalakkan pertumbuhan gigi siung yang tertanam di bawah gusi atau tumbuh ke atas, tanpa memerlukan pembedahan, pada kanak-kanak berumur 9 hingga 14 tahun

Apakah masalah kesihatan?

Gigi taring kekal atas (biasanya dikenali sebagai gigi siung atau gigi taring) terletak di rahang atas, satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri. Dalam kira-kira 1% hingga 3% kanak-kanak, mereka mungkin tidak tumbuh (muncul dari belakang gusi dan ke dalam mulut) pada kedudukan yang betul. Gigi atau gigi-gigi taring kekal boleh tumbuh ke arah lelangit (bumbung mulut) dan kekal tidak keluar (terkubur di bawah gusi). Ini dikenali sebagai taring teralih ke lelangit (PDC). Jika gigi taring kekal teralih dan tidak keluar, ia boleh merosakkan atau mengubah kedudukan gigi bersebelahan, dan kadangkala ia boleh menyebabkan sista.

Apakah rawatannya?

Pengurusan PDC boleh mengambil masa yang lama, melibatkan pembedahan untuk mendedahkan gigi dan rawatan ortodontik (pendakap) yang berpanjangan untuk meluruskannya. Pelbagai alternatif yang lebih cepat atau lebih mudah telah dicadangkan untuk menggalakkan gigi atau gigi-gigi itu tumbuh. Ini termasuk pengekstrakan (mengeluarkan) taring primer (bayi), pengekstrakan taring primer dan molar pertama primer (juga dipanggil pengekstrakan gigi primer berganda), atau menggunakan pendakap untuk mencipta ruang dalam mulut kanak-kanak.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada mana-mana alternatif rawatan ini berjaya untuk kanak-kanak berumur 9 hingga 14 tahun, dari segi menggalakkan PDC tumbuh tanpa melibatkan pembedahan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menilai keberkesanan cara yang berbeza untuk menangani taring yang teralih sehingga 3 Februari 2021.

Apabila kajian mengukur perkara yang sama dengan cara yang sama atau serupa, kami menggabungkan keputusan untuk memberi kami idea yang lebih jelas tentang kesan rawatan. Kami menilai sama ada kajian individu berisiko berat sebelah dan kami menilai kebolehpercayaan keseluruhan bukti yang kami temui.

Apakah penemuan-penemuan utama?

Kami mendapati empat kajian melibatkan 199 kanak-kanak (195 dianalisis).

Terdapat bukti yang sangat lemah bahawa pengekstrakan taring primer pada kanak-kanak berumur antara 9 dan 14 tahun boleh meningkatkan kebarangkalian bahawa PDC akan berjaya tumbuh ke dalam mulut tanpa memerlukan pembedahan ketika 12 bulan. Tiada bukti ia mengurangkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan pembedahan untuk membetulkan PDC mereka.

Tiada bukti bahawa pengekstrakan gigi primer berganda meningkatkan bahagian PDC yang tumbuh berbanding dengan satu pengekstrakan gigi primer ketika 18 bulan selepas rawatan atau mengurangkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan pembedahan untuk membetulkan PDC ketika 48 bulan.

Terdapat beberapa bukti terhad yang menunjukkan bahawa keterukan anjakan PDC ke arah garis tengah mungkin penting dalam memutuskan sama ada untuk campur tangan atau tidak. Jika ia sangat jauh dari garis tengah, ia mungkin kurang berjaya.

Apakah maksudnya?

Penulis ulasan mendapati kebolehpercayaan bukti adalah sangat rendah jadi penyelidikan masa depan diperlukan untuk membantu kami mengetahui dengan pasti cara terbaik untuk menangani gigi taring kekal atas yang tidak tumbuh seperti yang diharapkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan in sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information