Apakah isunya?
Pemindahan organ pepejal merujuk kepada pemindahan jantung, paru-paru, buah pinggang, pankreas atau hati. Selepas pemindahan organ pepejal, ubat imunosupresan berfungsi untuk menurunkan sistem imun dan memastikan kelangsungan hidup jangka pendek dan jangka panjang organ yang dipindah. Pengambilan ubat imunosupresan pada masa dan dos yang betul adalah bahagian penting dalam penjagaan selepas pemindahan. Walau bagaimanapun, ketidakpatuhan pengambilan ubat imunosupresan adalah kerap dan boleh menjadi sebab yang biasa terhadap kegagalan pemindahan. Bukti yang jelas diperlukan untuk mengenal pasti intervensi berkesan yang dapat meningkatkan pematuhan ubat imunosupresan selepas pemindahan organ pepejal.
Apa yang kami buat?
Kami mencari literasi untuk kajian yang menggambarkan intervensi untuk meningkatkan pematuhan ubat imunosupresan selepas pemindahan jantung, paru-paru, buah pinggang, pankreas atau hati. Kami mengumpul maklumat daripada kajian-kajian dan menggabungkannya untuk mengenal pasti sama ada intervensi boleh membantu. Kami meneliti kualiti intervensi tersebut untuk menilai sejauh mana kami yakin bahawa kesan yang kami perhatikan adalah boleh dipercayai.
Apa yang kami dapati?
Kami menjumpai 40 kajian yang melibatkan 3718 orang dewasa dan 178 remaja. Majoriti kajian memasukkan peserta dengan pemindahan buah pinggang. Kami mendapati bahawa jenis intervensi berbeza-beza dalam kajian-kajian disertakan, dan 27 kajian termasuk lebih daripada satu pendekatan untuk meningkatkan pematuhan ubat imunosupresan. Kami menemui beberapa bukti untuk menyokong keberkesanan intervensi untuk meningkatkan pengambilan dos ubat yang betul. Ia tidak jelas bahawa penggunaan intervensi boleh meningkatkan pematuhan kepada ubat imunosupresan berikutan pemindahan organ pepejal. Ia juga tidak jelas sama ada intervensi mempengaruhi kepekatan ubat imunosupresan dalam darah, kadar penolakan pemindahan, kematian, keperluan untuk masuk ke hospital dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Terdapat keyakinan rendah terhadap maklumat tentang kesan intervensi kerana beberapa kajian adalah kecil, jenis intervensi yang berbeza, serta kajian mentakrifkan dan mengukur pematuhan ubat dengan cara yang berbeza. Kami tidak menemui maklumat yang mencukupi untuk menilai sama ada intervensi tertentu lebih berkesan daripada intervensi yang lain.
Kesimpulan
Penemuan kami mencadangkan bahawa bukti penyelidikan kini yang memeriksa intervensi untuk meningkatkan pematuhan kepada terapi imunosupresan adalah berkualiti rendah, dikaitkan dengan kebolehubahan dalam jenis intervensi yang disampaikan, bilangan keseluruhan rendah peserta yang menerima intervensi, dan variasi ketara dalam cara pematuhan ubat ditakrifkan dan diukur. Data sedia ada memberikan maklumat yang menunjukkan kemungkinan manfaat intervensi untuk meningkatkan kepatuhan dari segi pengambilan ubat dan pengambilan dos yang betul. Tiada kemudaratan yang berkaitan dengan penyertaan intervensi dikenal pasti. Terdapat 24 kajian sama ada belum selesai atau keputusan akhir belum diterbitkan tidak diserta dalam ulasan ini, oleh itu kemas kini ulasan ini pada masa depan mungkin lebih pasti dalam menunjukkan sama ada intervensi dapat meningkatkan pematuhan kepada ubat imunosupresan selepas pemindahan organ pepejal.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Bin Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my