Saringan histeroskopi dalam kalangan wanita bermasalah kesuburan yang ingin hamil secara spontan dan sebelum persenyawaan in vitro

Soalan ulasan

Untuk menilai keselamatan dan manfaat saringan histeroskopi terhadap hasil reproduktif dalam kalangan wanita yang cuba hamil secara spontan, dan yang menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

Latar belakang

Dalam kalangan wanita yang bermasalah untuk hamil, atau mereka yang mengingini rawatan kesuburan seperti inseminasi intrauterus atau IVF, adalah dicadangkan bahawa histeroskopi (visualisasi bahagian dalam rahim melalui teleskop) mungkin memperbaiki kejayaan. Ultrasound rutin yang dibuat semasa pemeriksaan mungkin tidak dapat mengesan keabnormalan kecil di dalam rahim yang mungkin dikesan dan dirawat serentak melalui histeroskopi. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan hasil kejayaan dengan membolehkan inseminasi atau pemindahan embrio melalui dilatasi serviks ataupun memperbaiki implantasi embrio terhadap lapisan rahim melalui kesan garuan pada endometrium (lapisan rahim).

Ciri-ciri kajian

Bagi wanita yang ingin hamil secara spontan, kami mendapati satu kajian (200 wanita). Bagi wanita yang menjalani IVF, kami memasukkan sepuluh kajian (3750 wanita). Semua kajian menilai kesan-kesan saringan histeroskopi berbanding tanpa histeroskopi. Bukti adalah terkini sehingga September 2018.

Keputusan utama

Dalam kalangan wanita yang ingin hamil secara spontan, histeroskopi dikaitkan dengan peluang yang lebih tinggi bagi kehamilan yang sedang berlangsung dan klinikal dalam satu kajian yang berisiko bias tinggi. Kajian melaporkan tiada peristiwa buruk selepas histeroskopi. Kadar keguguran lebih tinggi selepas histeroskopi.

Dalam kalangan wanita yang menjalani IVF, kajian-kajian yang dimasukkan mencadangkan saringan histeroskopi terlebih dahulu memperbaiki peluang kelahiran hidup atau kehamilan klinikal. Walau bagaimanapun, peristiwa buruk berikutan histeroskopi tidak dilapor dengan baik, oleh itu, kami tidak dapat menilai keselamatan intervensi ini. Bagi wanita di klinik biasa dengan kadar kelahiran hidup 22%, saringan histeroskopi dijangka menghasilkan kadar kelahiran hidup di antara 25% dan 32%. Tiada peningkatan risiko keguguran selepas histeroskopi.

Kami tidak mendapati sebarang kajian dalam kalangan wanita yang menjalani inseminasi intrauterus.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah dari satu kajian melibatkan wanita yang cuba untuk hamil secara spontan.

Kualiti bukti untuk saringan histeroskopi sebelum IVF dapat meningkatkan peluang kadar kelahiran hidup atau kehamilan klinikal adalah rendah, dan kualiti bukti adalah sangat rendah untuk peristiwa buruk selepas histeroskopi. Kualiti bukti dikurangkan kerana risiko bias dan keheterogenan statistik.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information