Intervensi postoperatif untuk mencegah disfungsi pundi kencing selepas histerektomi radikal dalam kalangan wanita dengan kanser serviks peringkat awal

Isunya
Histerektomi radikal dengan limfadenektomi pelvis (pembuangan uterus (rahim) dengan tisu sekitarnya dan kelenjar limfa di pelvis) adalah rawatan untuk kanser serviks peringkat awal (apabila kanser masih di dalam serviks dan bahagian atas faraj, tanpa perebakan ke tisu berdekatan). Disfungsi pundi kencing (masalah dengan cara pundi kencing menahan dan mengeluarkan urin) adalah masalah lazim selepas histerektomi radikal, akibat kerosakan saraf yang mengawal buang air kecil.

Matlamat ulasan
Untuk menilai kebergunaan dan keselamatan rawatan mencegah disfungsi pundi kencing selepas histerektomi radikal dalam kalangan wanita dengan kanser serviks peringkat awal. Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian di mana orang atau kumpulan orang diperuntukkan secara kebetulan kepada dua atau lebih kumpulan, merawatnya secara berbeza) yang diterbitkan hingga April 2020.

Penemuan utama
Kami menemui empat kajian yang memenuhi kriteria kemasukan. Satu kajian membandingkan ubat yang disebut bethanechol dengan plasebo (bahan yang tiada kesan terapeutik, digunakan sebagai kawalan dalam menguji ubat). Tiga kajian membandingkan kateterisasi suprapubis (memasukkan tiub fleksibel (kateter) ke dalam pundi kencing melalui insisi di bahagian bawah abdomen untuk mengalirkan urin) dengan kateterisasi intermiten kendiri (memasukkan kateter melalui uretra, ke dalam pundi kencing pada interval sepanjang hari).

Bethanechol berbanding plasebo

Bethanecol dapat mengurangkan kemungkinan disfungsi pundi kencing dengan menurunkan isipadu urin residual selepas buang air kecil, yang dinilai pada satu bulan selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, kepastian bukti ini sangat rendah dan kajian lanjut berpotensi memaklumkan hasil ini dengan lebih baik.

Kateterisasi suprapubis berbanding kateterisasi interval kendiri
Tiada cukup bukti untuk menunjukkan keberkesanan kateterisasi suprapubis dan kateterisasi interval kendiri untuk mencegah disfungsi pundi kencing. Bukti kepastian yang sangat rendah menunjukkan tiada perbezaan antara kedua-dua rawatan tersebut dalam risiko keputusan yang tidak baik dan jangkitan saluran kencing pada bulan pertama selepas pembedahan.

Kesimpulan

Tiada kajian melapor kadar pemulihan buang air kecil spontan satu minggu selepas pembedahan, masa untuk capai 50mL atau kurang isipadu urin residual selepas buang air kecil, atau isipadu urin residual 6 hingga 12 bulan selepas pemnbedahan, yang merupakan hasil penting untuk menilai disfungsi pundi kencing postoperatif. Bukti terhad menunjukkan bethanechol dapat mencegah disfungsi pundi kencing selepas histerektomi radikal dengan menurunkan isipadu urin residual selepas buang air kecil. Walau bagaimanapun, kepastian bukti ini adalah sangat rendah. Keberkesanan pelbagai jenis kateterisasi urinari postoperatif (suprapubik dan kateterisasi intermiten kendiri) masih belum terbukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information