Intervensi aktiviti fizikal untuk kesihatan fizikal dan mental seseorang semasa dan selepas rawatan bagi kanser usus

Latar belakang

Kanser usus adalah kanser ketiga paling kerap didiagnosis di seluruh dunia. Didiagnosis dan menerima rawatan untuk kanser usus boleh mempunyai impak yang negatif terhadap kesihatan fizikal dan mental seseorang. Kesan-kesan sampingan termasuklah pngurangan tahap kecergasan dan peningkatan keletihan. Seseorang juga berisiko untuk kanser mereka kembali semula selepas rawatan dan ini boleh menyebabkan ketakutan dan kebimbangan. Penyelidikan mengenai program aktiviti fizikal dalam populasi kanser yang lain menunjukkan manfaat dalam mengurangkan kesan-kesan sampingan rawatan. Memandangkan orang yang aktif mempunyai peluang yang lebih rendah untuk menghidap kanser usus, aktiviti fizikal mungkin bermanfaat untuk mereka dengan diagnosis kanser usus, tetapi penyelidikan tersebut masih tidak jelas.

Soalan ulasan

Ulasan ini dijalankan untuk mengetahui sama ada program-program aktiviti fizikal bermanfaat untuk kesihatan fizikal dan mental orang dengan kanser usus dan sama ada ia adalah selamat.

Keputusan utama
Kami menemui 16 kajian yang melibatkan 992 peserta, bukti kami adalah terkini sehingga Jun 2019. Peserta diperuntukkan secara rawak untuk menerima program aktiviti fizikal atau penjagaan biasa (tiada program aktiviti fizikal). Dalam kajian-kajian yang disertakan, kami tidak pasti sama ada program aktiviti fizikal menambah baik fungsi fizikal dan kami mendapati tiada kesan bagi program aktiviti fizikal berbanding dengan penjagaan biasa terhadap kesihatan mental berkaitan penyakit. Tiada peristiwa buruk serius berlaku dalam lapan kajian yang meneliti peristiwa buruk. Laporan dan pengukuran peristiwa buruk adalah tidak konsisten. Kami tidak mengetahui sama ada aktiviti fizikal menambah baik kelangsungan hidup pada bila-bila masa kerana tiada kajian yang menyelidiknya. Kajian-kajian yang disertakan menunjukkan program aktiviti fizikal mungkin meningkatkan kecergasan aerobik, kualiti hidup berkaitan kesihatan (kesejahteraan umum) dan mengurangkan keletihan dalam jangka pendek. Kami tidak pasti berkenaan kesan jangka panjang intervensi aktiviti fizikal terhadap fungsi fizikal, kesihatan mental berkaitan penyakit, peristiwa buruk, kecergasan fizikal, keletihan, berat badan, kualiti hidup berkaitan kesihatan (kesejahteraan umum) dan tahap aktiviti fizikal kerana tiada kajian yang menilai perkara ini.

Kualiti bukti
Kami menilaikan kualiti bukti antara sangat rendah ke sederhana terutamanya kerana jumlah kajian yang kecil dan bilangan peserta yang rendah, serta batasan kajian.

Kesimpulan
Penemuan ulasan ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati kerana jumlah kajian disertakan dan kualiti bukti yang rendah. Ulasan ini menunjukkan keperluan untuk penyelidikan berkualiti tinggi pada masa hadapan dengan susulan jangka lebih panjang bagi menilai kesan intervensi aktiviti fizikal terhadap kesihatan fizikal dan mental orang dengan kanser usus, terutamanya berkaitan dengan keselamatan dan kelangsungan hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information