Soalan ulasan
Apakah kesan prosedur yang mengurangkan aliran darah ke prostat (disebut embolisasi arteri prostat) pada lelaki dengan gejala yang disebabkan oleh prostat yang membesar?
Latar belakang
Prostat yang membesar boleh menyebabkan kesukaran untuk membuang air kecil seperti aliran perlahan atau keperluan untuk kerap membuang air kecil pada waktu siang atau malam hari. Ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan atau dengan pelbagai jenis pembedahan. Satu jenis pembedahan utama dipanggil reseksi transurethra pada prostat. Ini melibatkan kemasukan ke dalam uretra melalui zakar dan membuang tisu prostat. Embolisasi arteri prostat adalah sejenis rawatan lain yang berfungsi dengan menghentikan aliran darah ke bahagian prostat. Kami melakukan ulasan ini untuk membandingkan bagaimana embolisasi arteri prostat dibandingkan dengan reseksi transuretra prostat dan prosedur lain yang dibuat pada lelaki dengan prostat yang membesar.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui lapan kajian yang membandingkan embolisasi arteri prostat dengan reseksi transuretra prostat. Dalam enam daripada lapan kajian, yang disebut kajian rawak, penentuan kumpulan peserta ditentukan secara nasib. Dalam dua kajian lain, lelaki itu sendiri dan doktor mereka yang membuat keputusan. Kami juga memasukkan satu kajian yang membandingkan embolisasi arteri prostat dengan prosedur palsu (lelaki dibuat untuk mempercayai bahawa mereka menerima rawatan, tetapi pada kenyataannya, mereka tidak). Kami tidak menemui bukti yang membandingkan embolisasi arteri prostat dengan rawatan selain daripada reseksi transuretra prostat.
Keputusan utama
Embolisasi arteri prostat berbanding dengan reseksi transuretra prostat
Berdasarkan susulan sehingga 24 bulan, embolisasi arteri prostat dan reseksi transurethra prostat mungkin berfungsi dengan sama baik dalam membantu mengurangkan gejala. Kualiti hidup lelaki juga boleh dipertingkatkan dengan cara yang sama. Kami sangat tidak pasti mengenai perbezaan dalam kesan utama yang tidak diingini. Embolisasi arteri prostat mungkin meningkatkan keperluan untuk dirawat semula untuk masalah yang sama. Embolisasi arteri prostat mungkin berfungsi sama berkaitan dengan masalah ereksi, tetapi boleh mengurangkan masalah dengan ejakulasi.
Kepastian bukti
Kepastian bukti untuk hasil adalah rendah atau sangat rendah. Ini bermakna kesan sebenar mungkin sangat berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh ulasan ini. Kajian yang direka bentuk lebih baik, lebih besar dengan susulan yang lebih lama adalah diperlukan untuk menjawab soalan tentang bagaimana embolisasi arteri prostat dibandingkan dengan rawatan lain.
Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my