Antrasiklin dan taxane adalah kelas aktif agen kemoterapi yang digunakan sebelum atau selepas pembedahan untuk kanser payudara awal.
Apakah tujuan ulasan ini?
Kami bertujuan untuk mengetahui sama ada memberi pesakit kanser payudara awal (di mana kanser tidak menyebar kepada nod limfa berdekatan payudara) kemoterapi taxane sebelum kemoterapi antrasiklin (bukannya selepas) akan mengubah hasilnya.
Walaupun faedah penambahan taxane kepada antrasiklin telah dibuktikan, tetapi ia masih tidak diketahui sama ada pemberian kemoterapi taxane sebelum atau selepas kemoterapi antrasiklin memberi kesan pada jangka masa orang untuk hidup, tempoh pesakit bebas daripada kanser payudara, keselesaian rawatan mereka, kesan sampingan rawatan serta kualiti hidup pesakit.
Mesej utama dari ulasan
Urutan pemberian kemoterapi taxane dan antrasiklin mungkin memberi sedikit ataupun tidak ada kesan pada:
- berapa lama peserta hidup;
- berapa lama mereka bebas daripada kanser payudara;
- keselesaian rawatan dan
- kesan-kesan sampingan rawatan.
Tiada kajian yang melaporkan data tentang kualiti hidup. Sebilangan besar kajian tidak melaporkan maklumat mengenai hasil penting seperti berapa lama pesakit dapat hidup ataupun bebas daripada kanser payudara. Kami sedang menunggu penerbitan satu percubaan yang relevan yang melibatkan 112 peserta yang menerima kemoterapi sebelum pembedahan kanser payudara supaya dapat dimasukkan dalam kemas kini tinjauan ini.
Secara ringkas, hasilnya menunjukkan bahawa tidak ada bukti yang mencukupi untuk menentu manfaat atau kemudaratan pada urutan kemoterapi taxane dan antrasiklin diberikan. Di kebanyakan institusi, amalan standard adalah untuk memberikan antrasiklin diikuti dengan taxane. Berdasarkan tinjauan ini mengenai buktinya, data yang terdapat kini tidak menyokong perubahan amalan ini.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Untuk wanita dengan kanser payudara awal yang mempunyai risiko mendapati semula kanser yang lebih tinggi, kombinasi kemoterapi antrsiklin dengan taxane sering ditawarkan sama ada sebelum atau selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko mendapati semula kanser dan memanjangkan hidup. Secara tradisi, antrasiklin akan diberikan dahulu baru diikuti dengan taxane tetapi tiada bukti yang kukuh untuk pesanan ini. Kami membandingkan kemungkinan pemberian taxane dahulu lalu diikuti oleh antrasiklin dengan rawatan biasa dengan antrasiklin dahulu.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Semua peserta dalam kajian-kajian tersebut adalah wanita. Kami menjumpai lima kajian yang melibatkan 1415 peserta di mana kemoterapi diberikan sebelum pembedahan. Ubat taxane yang digunakan dalam tiga kajian tersebut ialah paclitaxel, sementara dua kajian lain menggunakan docetaxel. Dua kajian telah menggunakan satu ejen antrasiklin (epirubicin), sementara tiga kajian menggunakan kombinasi epirubicin, cyclophosphamide serta fluorouracil. Terdapat empat kajian yang melibatkan 280 peserta yang membandingkan urutan pemberian taxane dan antrasiklin kepada peserta yang menerima kemoterapi selepas pembedahan kanser payudara. Taxane yang digunakan dalam semua empat kajian tersebut ialah docetaxel, manakala antrasiklin yang digunakan adalah kombinasi epirubicin atau adriamycin dengan antara cyclophosphamide atau fluorouracil (atau keduanya).
Hasil utama adalah urutan kemoterapi taxane diberikan:
- mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup atau risiko mendapat semula kanser untuk peserta yanf menerima kemoterapi sebelum pembedahan;
- mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam sejauh mana kanser menyusut sebagai tindak balas kepada kemoterapi untuk peserta yang menerima kemoterapi sebelum pembedahan;
- mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam menyebabkan kesan-kesan sampingan terhadap peserta yang menerima kemoterapi sebelum pembedahan tetapi diberi taxane terlebih dahulu akan mengurangkan risiko neutropenia (sel darah putih rendah) pada mereka yang menerima kemoterapi selepas pembedahan. Kesan sampingan yang diperiksa adalah neutropenia dan neurotoksisitas (kerosakan pada saraf);
- mungkin mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam sebahagian peserta yang menerima kemoterapi setelah pembedahan kanser payudara mengalami kelewatan dalam dos kemoterapi.
Banyak kajian tidak mengumpulkan atau melaporkan data mengenai kelangsungan hidup, risiko mendapat semula kanser atau kesejahteraan keseluruhan (kualiti hidup). Dalam beberapa kes, kajian tidak melaporkan data yang dapat digunakan dalam ulasan ini dan kami sedang menunggu respons dari penyiasat yang menjalani kajian-kajian tersebut.
Adakah ulasan ini terkini?
Penulis kajian mencari kajian yang telah diterbitan sehingga Februari 2018.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.