Pengudaraan bukan invasif untuk orang yang mengalami apnea tidur pusat

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Ulasan ini melihat kesan pengudaraan bukan invasif (NIV) berbanding rawatan lain atau jenis NIV yang berbeza pada orang yang mengalami apnea tidur pusat (CSA), sejenis masalah di mana orang tersebut kerap berhenti bernafas semasa tidur kerana otak mereka gagal memberitahu otot mereka untuk mengambil masuk udara. CSA lebih kerap memberi kesan kepada lelaki dan orang yang mempunyai penyakit jantung kronik. Orang dengan CSA mungkin sering terjaga pada waktu malam, berasa sangat mengantuk pada waktu siang, dan tidak dapat bersenam seperti biasa. Apnea tidur juga boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami keadaan lain, seperti serangan jantung dan strok, dan kematian.

Dalam NIV mesin digunakan untuk membantu orang itu bernafas. Semasa terapi NIV, orang itu menggunakan topeng muka atau topeng hidung di mana udara dipaksa masuk melaluinya ke dalam paru-paru untuk mengurangkan keperluan usaha pernafasan. Beberapa jenis terapi NIV disediakan, dengan menggunakan cara yang berbeza untuk menyampaikan sokongan pernafasan; beberapa contoh adalah seperti di bawah.

• Tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP): udara dipaksa masuk ke dalam paru-paru secara berterusan (semasa inspirasi dan ekspirasi).
• Tekanan saluran udara positif dwilevel (BiPAP): udara dipaksa masuk ke dalam paru-paru lebih banyak semasa inspirasi berbanding semasa ekspirasi.
• Pengudaraan servo suai (ASV): udara dipaksa masuk ke dalam paru-paru terutamanya apabila orang itu berhenti bernafas.

Pengudaraan bukan invasif boleh membantu udara masuk ke dalam paru-paru. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada NIV juga membantu orang itu hidup lebih lama dan dengan lebih baik, atau jika ia boleh menyebabkan sebarang bahaya.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada sebarang jenis NIV lebih membantu daripada memudaratkan orang yang mempunyai CSA berbanding terapi lain atau jenis NIV yang lain. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab persoalan ini.

Apakah keputusan utama semakan ini?

Kami menyertakan 15 kajian dari 1995 hingga 2019, yang melibatkan seramai 1936 orang peserta dewasa. Kebanyakan kajian menyertakan lelaki yang mempunyai penyakit jantung kronik dan CSA pada masa yang sama. Kajian yang disertakan melihat perbandingan yang berbeza, seperti CPAP berbanding penjagaan sokongan terbaik, ASV berbanding penjagaan sokongan terbaik, ASV berbanding CPAP dan ASV berbanding BiPAP. Dalam kajian-kajian ini, peserta ditentukan untuk menerima jenis NIV atau terapi lain secara kebetulan (kajian rawak terkawal).

Memandangkan kami menjumpai kajian yang membandingkan beberapa mod NIV, yang kebanyakannya mempunyai bilangan peserta yang kecil untuk disertakan dalam setiap perbandingan, kesan-kesan kajian ini adalah tidak tepat walaupun selepas keputusan kajian digabungkan. Selain itu, kaedah yang digunakan untuk menetapkan peserta dalam satu daripada dua atau lebih rawatan kajian telah diterangkan secara tidak lengkap, oleh itu, adalah tidak jelas sama ada kaedah tersebut mencukupi. Tambahan pula, dalam beberapa kajian, para peserta dinilai oleh penyelidik yang mengetahui rawatan yang telah diterima oleh peserta, yang mungkin telah mempengaruhi penilaian mereka dan membawa kepada keputusan yang berat sebelah. Oleh itu, kami tidak yakin dengan keputusan kajian yang ada sekarang, dan tidak boleh membuat kesimpulan yang kukuh daripadanya.

Pada orang yang mempunyai CSA yang dikaitkan dengan kegagalan jantung kronik, menggunakan NIV (CPAP atau ASV) nampaknya mengakibatkan kekerapan episod apnea yang lebih rendah (apabila orang itu berhenti bernafas) berbanding penjagaan sokongan terbaik sahaja dalam jangka pendek (sehingga tiga bulan). Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada terdapat faedah dalam jangka masa panjang (lebih daripada satu tahun). Sebaliknya, dalam jangka panjang, ASV mungkin mengakibatkan peningkatan kematian yang berkaitan dengan keadaan jantung pada orang yang mengalami CSA dan kegagalan jantung kronik. Sangat sedikit data tersedia mengenai orang yang mempunyai CSA yang tidak mengalami kegagalan jantung kronik.

Mesej utama

Secara keseluruhan, hasil kajian yang dinilai dalam ulasan ini tidak membenarkan kami untuk memberikan kepastian sama ada satu jenis NIV membawa kepada lebih banyak kesan sampingan daripada yang lain, atau sama ada satu jenis NIV membawa kepada lebih banyak bahaya daripada manfaat berbanding dengan penjagaan sokongan terbaik dalam orang yang mempunyai CSA.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga 6 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information