Dialisis segera menggunakan lapisan peritoneal berbanding hemodialisis bagi penghidap penyakit buah pinggang kronik

Apakah isunya?

Peritoneal dialysis (PD) adalah bentuk terapi penggantian buah pinggang yang menggunakan membran peritoneal pesakit sendiri (lapisan dalam perut) sebagai penapis untuk dialisis. Kebiasaannya, dialisis menggunakan lapisan peritoneal ini dilakukan selepas 2 minggu daripada tempoh kateter PD dimasukkan bagi memberi masa luka sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, sebilangan pesakit memerlukan dialisis dengan kadar segera dan tidak dapat menunggu selama 2 minggu. Untuk mengelakkan prosedur tambahan pemasangan kateter untuk hemodialisis (HD) pada pesakit PD, ada kajian yang melaporkan keberkesanan memulakan PD dengan segera dalam tempoh 2 minggu dari masa pemasangan kateter PD. Kajian ini membandingkan keputusan pesakit PD (dialisis air) yang memulakan PD dengan kadar segera dengan pesakit HD (dalisis darah) yang memulakan dialisis menggunakan kateter.

Apa yang kami lakukan?

Kami melakukan tinjauan sistemik untuk melihat manfaat dan kemudaratan terhadap penghidap sakit buah pinggang kronik yang memulakan PD dengan kadar segera (biasanya dalam masa 2 minggu selepas pemasangan kateter PD) dengan mereka yang menjalani HD menggunakan kateter dialisis.

Apa yang kami temui?

Kami mengenal pasti 7 kajian yang melibatkan seramai (991 peserta) yang membandingkan risiko dan faedah memulakan dialisis peritoneal dengan kadar segera dan hemodialisis dengan menggunakan kateter. Kami mendapati bahawa pesakit yang menjalani PD dengan kadar segera mungkin mempunyai risiko jangkitan dalam aliran darah (jangkitan bakteria dalam darah) yang lebih rendah dibandingkan dengan pesakit yang menjalani HD menggunakan kateter dialisis. Perbezaan risiko komplikasi berjangkit lain dan komplikasi mekanikal kateter dialisis, atau kesinambungan pada jenis rawatan dialisis asal (PD atau HD) antara kedua-dua kaedah dialisis tidak dapat dipastikan.

Kesimpulannya

Pesakit pada PD mungkin mempunyai risiko jangkitan aliran darah yang lebih rendah dibandingkan dengan pesakit HD yang menggunakan kateter. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada terdapat perbezaan dalam komplikasi lain yang berkaitan dengan jangkitan atau kateter, kemampuan untuk tetap menggunakan jenis rawatan dialisis yang sama, dan kelangsungan hidup pesakit antara PD dengan kadar segera dan HD yang menggunakan kateter.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information