Soalan ulasan
Kami mengulas bukti mengenai kesan pelbagai cara pemberian antibiotik untuk mencegah jangkitan shunt dalam orang yang menerima shunt cecair serebrospinal.
Latar belakang
Orang dengan hidrosefalus (cecair serebrospinal yang berlebihan di dalam otak, disebabkan penyumbatan di dalam rongga otak atau di dalam sistem penyerapan semula) boleh dirawat dengan implan shunt cecair serebrospinal. Shunt ini adalah tiub yang mengalir dari otak ke jantung atau abdomen supaya dapat mengalirkan cecair serebrospinal yang berlebihan ke ruang tubuh yang lain di mana ia akan diserap semula. Salah satu masalah yang kerap berlaku selepas implantasi ialah jangkitan shunt. Pesakit jatuh sakit dan dalam kebanyakan kes shunt perlu dikeluarkan dan yang baru perlu ditanam setelah pesakit pulih. Untuk mengurangkan jumlah jangkitan, pakar bedah memberikan antibiotik sebelum, semasa atau selepas pembedahan, atau dalam pelbagai gabungan, untuk melindungi pesakit terhadap bakteria yang dapat menjangkiti shunt. Antibiotik-antibiotik ini boleh diberikan dengan pelbagai cara: secara oral; intravena; terus ke dalam rongga otak; terus kepada shunt; dan melalui implantasi kateter shunt yang diresapi dengan antibiotik.
Keputusan
Kami menyertakan 11 kajian hingga Januari 2018 dalam ulasan ini, yang terdiri daripada 1109 peserta yang telah menerima suntikan cecair serebrospinal untuk hidrosefalus. Majoriti kajian yang dimasukkan adalah kecil serta melibatkan pelbagai tempoh (dari lapan minggu hingga lebih daripada satu tahun). Kami mendapati bahawa pemberian antibiotik adalah berkesan dalam mencegah jangkitan shunt (kualiti bukti yang sangat rendah). Oleh kerana kajian yang disertakan hanya sedikit, intervensi yang digunakan sangat berbeza dan kepastian bukti hasil kami adalah sangat rendah, hasil kami menghalang kesimpulan yang jelas mengenai jenis antibiotik dan cara pemberian yang paling berkesan dalam pencegahan jangkitan shunt.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.