Apakah tujuan ulasan ini?
Dalam Ulasan Cochrane ini, kami bertujuan untuk menilai kesan penggunaan peranti mudah alih untuk memaklumkan kelahiran dan kematian. Kami juga bertujuan untuk menerangkan bagaimana penyelesaian mudah alih ini digunakan secara praktikal dan faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaannya. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan-soalan ini.
Mesej utama
Kami hanya mengetahui sedikit sahaja tentang kesan-kesan penggunaan peranti mudah alih untuk memaklumkan kelahiran dan kematian. Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pelaksanaan pendekatan ini termasuk faktor-faktor berkaitan dengan sistem kesihatan dan sistem pemberitahuan, orang yang bertanggungjawab untuk memaklumkan, komuniti, dan keluarga-keluarga yang terlibat.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Dengan mendaftarkan kelahiran dan kematian yang dimaklumkan, pihak kerajaan boleh memantau kesihatan penduduk, mengenal pasti keperluan dan masalah, dan dapat mereka perkhidmatan yang lebih baik. Di kebanyakkan negara, kelahiran dan kematian tidak didaftarkan dengan betul. Kadangkala ini adalah kerana sistem-sistem kerajaan yangh sedia ada tida direka dengan baik untuk memudahkan pendaftaran, pekerja-pekerja kerajaan tidak mempunyai latihan yang sesuai, dan penduduk tinggal jauh dari tempat perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan, atau mereka tidak menyedari keperluan untuk mendaftarkan kelahiran atau kematian. Dalam kebanyakan kes, pendaftaran dipengaruhi oleh kelewatan atau kekurangan pemberitahuan kelahiran atau kematian.
Pihak kerajaan mula menggunakan peranti mudah alih seperti telefon bimbit untuk mengurangkan masalah pemberitahuan kelahiran atau kematian. Dalam beberapa keadaan, anggota masyarakat, pekerja penjagaan kesihatan dan yang penduduk yang lain menggunakan telefon bimbit untuk memaklumkan kelahiran atau kematian kepada sistem kesihatan atau kepada sistem pendaftaran pusat.
Tujuan utama ulasan kami adalah untuk menilai apa yang berlaku apabila penduduk menggunakan peranti mudah alih untuk memaklumkan kelahiran dan kematian, berbanding dengan sistem-sistem lain atau tiada sistem langsung. Contohnya, adakah mereka mendaftarkan lebih banyak kelahiran dan kematian, dan adakah mereka melakukannya pada waktu yang tepat? Dan adakah ini menyebabkan lebih banyak bayi dan kanak-kanak menggunakan atau menerima perkhidmatan kesihatan, seperti imunisasi? Kami juga ingin mengetahui bagaimana orang menggunakan sistem-sistem mudah alih ini secara praktikal dan apa yang mempengaruhi penggunaannya.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menemui 21 kajian yang relevan. Semua kajian adalah dari negara-negara berpendapatan rendah atau sederhana. Kebanyakan kajian ini menumpukan kepada pemberitahuan kelahiran dan kematian dalam penduduk luar bandar, terpencil, atau terpinggir yang sering kurang diwakili dalam proses pendaftaran kelahiran atau kematian atau mempunyai kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan. Hanya satu kajian menilai kesan penggunaan peranti mudah alih untuk sistem pemberitahuan. Kajian ini menumpukan kepada pemberitahuan kelahiran. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai kesan penggunaan peranti mudah alih untuk pemberitahuan kematian. Kami tidak pasti mengenai kesan pendekatan ini terhadap jumlah kelahiran dan kematian yang dimaklumkan dengan betul kerana kepastian bukti ini dinilaikan sebagai sangat rendah.
Kajian-kajian yang lain mempunyai maklumat mengenai bagaimana penduduk menggunakan sistem pemberitahuan kelahiran dan kematian berasaskan peranti mudah alih secara praktikal. Kajian-kajian ini menunjukkan beberapa faktor yang boleh mempengaruhi pelaksanaan pemberitahuan kelahiran-kematian melalui peranti mudah alih. Faktor-faktor ini dikaitkan dengan sistem kesihatan dan sistem pemberitahuan, orang yang bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara tersebut, komuniti yang dikaji, dan keluarga-keluarga yang terlibat. Ia termasuk:
- Halangan geografi yang boleh menghalang akses seseorang kepada pemberitahuan kelahiran-kematian dan perkhidmatan selepas pemberitahua tersebut
- Akses kepada pekerja-pekerja kesihatan dan pemaklum-pemaklum lain dengan latihan, pengawasan, sokongan, dan insentif yang mencukupi
- Sistem pemantauan yang memastikan kualiti dan masa yang sepatutnya didaftarkan untuk data kelahiran dan kematian
- Kerangka undang-undang yang membolehkan kelahiran dan kematian diberitahu melalui peranti mudah alih dan oleh pelbagai jenis pemakluman yang lain
- Kesedaran masyarakat mengenai keperluan mendaftarkan kelahiran dan kematian
- Norma sosiobudaya berkaitan dengan kelahiran dan kematian
- Komitmen kerajaan
- Kos kepada sistem, pekerja kesihatan dan keluarga
- Akses kepada kemudahan elektrik dan rangkaian jaringan internet, dan keserasian dengan sistem yang sedia ada
- Sistem-sistem yang melindungi kerahsiaan data
Kami mempunyai keyakinan rendah sehinggan sederhana terhadap penemuan-penemuan ini. Ini disebabkan oleh rekaan kajian-kajian itu dan jumlah data yang kecil.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 2 Ogos 2019.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my