Ubat untuk apnea tidur berpusat terhadap orang dewasa

Mesej utama

Kajian dalam bidang ini adalah kecil dan kami tidak dapat membuat kesimpulan sama ada mana-mana ubat yang dikaji membantu orang yang mengalami apnea tidur berpusat (CSA) berbanding rawatan palsu.

Apakah apnea tidur berpusat dan bagaimana ia dirawat?

CSA ialah gangguan di mana pernafasan berulang kali berhenti dan bermula semasa tidur kerana otak tidak menghantar isyarat yang betul kepada otot yang mengawal pernafasan. CSA memberi kesan terutama kepada lelaki dan orang yang mempunyai penyakit jantung. Keadaan ini berbeza dan kurang biasa daripada apnea tidur obstruktif, di mana pernafasan terganggu disebabkan saluran udara yang tersumbat atau sempit. Rawatan CSA boleh melibatkan penggunaan peranti untuk membantu pernafasan tetapi penghidap CSA tidak selalunya suka menggunakannya. Rawatan dengan ubat-ubatan, seperti hipnotik (digunakan untuk mengurangkan ketegangan dan mendorong ketenangan) dan modulator pernafasan (digunakan untuk merangsang pernafasan), mungkin merupakan alternatif untuk orang dewasa dengan CSA.

Apa yang ingin kami ketahui?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada ubat-ubatan boleh meningkatkan hasil berikut terhadap orang yang mempunyai CSA.

• Indeks apnea-hipopnea berpusat (penunjuk utama CSA yang mengukur bilangan kali pernafasan seseorang berhenti seketika setiap jam tidur)
• Kematian berkaitan penyakit jantung
• Kualiti tidur
• kualiti hidup
• Mengantuk pada siang hari
• Indeks Apnea-hypopnea (skor lain kejadian apnea)
• kematian akibat sebarang sebab
• Masa untuk intervensi berkaitan jantung yang menyelamatkan nyawa (seperti pemindahan)

Kami juga ingin tahu jika ubat tersebut mempunyai kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat penggunaan ubat untuk CSA berbanding rawatan yang berbeza (seperti alat pernafasan yang biasa digunakan untuk merawat CSA), rawatan tiruan (plasebo), tanpa rawatan atau penjagaan biasa. Peserta mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun. Kami hanya memasukkan kajian rawak terkawal (RCT), yang memperuntukkan orang kepada kumpulan rawatan secara rawak.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati lima kajian melibatkan sejumlah 66 orang dewasa dengan CSA dan purata umur 66 hingga 71 tahun. Kajian yang disertakan menggunakan empat ubat yang berbeza dan kebanyakannya melihat lelaki yang mempunyai CSA bersama-sama dengan penyakit jantung. Dalam satu kajian, lima lelaki menerima sama ada triazolam (ubat untuk membantu tidur) atau plasebo. Dalam kajian lain, 16 lelaki menerima sama ada buspirone (ubat untuk membantu mengurangkan kebimbangan) atau plasebo. Dalam kajian ketiga, 15 lelaki menerima sama ada theophylline (ubat untuk membantu semput, sesak nafas dan sesak dada) atau plasebo. Tiga puluh orang dewasa dalam dua kajian yang tinggal menerima sama ada acetazolamide (ubat untuk membantu merangsang pernafasan) atau plasebo/tiada acetazolamide.

Kajian yang memberikan maklumat mengenai tempoh rawatan menguji ubat-ubatan antara tiga hari dan satu minggu.

Kami tidak pasti tentang kesan ubat-ubatan pada indeks apnea-hipopnea berpusat, kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung, indeks apnea-hipopnea dan mengantuk pada waktu siang. Kajian juga tidak dapat memberitahu kami sama ada kejadian yang tidak diingini adalah lebih dengan ubat-ubatan berbanding plasebo. Tiada kajian melaporkan hasil lain yang kami minat.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah, terutamanya kerana ia datang dari kajian kecil dengan sangat sedikit peserta.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 30 Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information